Parah! Wanita dibelasah guna topi keledar, disepak kerana enggan beli makanan, rokok

Parah! Wanita dibelasah guna topi keledar, disepak kerana enggan beli makanan, rokok

Seorang wanita cedera dibelasah dengan topi keledar, selain disepak berulang kali oleh teman lelakinya selepas enggan membelikan makanan dan rokok, dalam kejadian di Tumpat, Kelantan.

Mangsa, 38, disepak di peha kanan dan kiri serta dicakar pada muka, termasuk luka pergelangan tangan akibat dibelasah lelaki terbabit.

Kejadian berlaku jam 2 petang semalam di Kampung Tanjung Che Lat, Tumpat, selepas mangsa diminta datang ke rumah suspek, sebelum berlaku perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Tumpat Mohd Azmir Damiri, berkata suspek berusia 30 tahun dikatakan bercinta dengan mangsa sejak dua tahun lalu.

“Ketika mangsa berada di luar pagar rumah suspek, berlaku selisih faham antara mereka menyebabkan lelaki itu menyepak beberapa kali di bahagian peha kanan dan kiri teman wanitanya.

“Mangsa juga mendakwa dipukul dengan menggunakan topi keledar di lengan kiri sebelum diheret dan turut dicakar di bahagian muka serta pergelangan tangan kanan untuk membawa wanita itu masuk ke halaman hadapan rumahnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Azmir berkata, punca perselisihan faham disebabkan mangsa enggan membeli makanan dan rokok seperti diminta suspek yang mengadu kelaparan.

Beliau berkata, mangsa mendakwa teman lelakinya seorang panas baran serta penagih dadah.

Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Tumpat jam 4.15 petang semalam.

“Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Sumber | FMT