Parah! Akibat perselisihan faham dalam keluarga, lelaki bakar rumah

Parah! Akibat perselisihan faham dalam keluarga, lelaki bakar rumah

Akibat perselisihan faham dalam keluarga, seorang lelaki yang disyaki kurang siuman bertindak membakar rumahnya hingga mengakibatkan dua lagi unit perumahan awam di Setapak Jaya dekat Kuala Lumpur, musnah dalam kebakaran petang tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada kira-kira 4.30 petang.

“Kita menerima maklumat awal berlaku pergaduhan keluarga di lokasi kejadian sehingga menyebabkan suspek disyaki membakar rumahnya sendiri sebelum api merebak ke dua unit rumah lain.

“Suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

Ashari berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun insiden tersebut telah mengakibatkan tiga unit rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata seramai 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Keramat, Setapak dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran.

“Kebakaran berlaku di tingkat empat rumah pangsa itu dan api berjaya dikawal tidak lama selepas kejadian,” katanya.

– Bernama