Panas !!! Tidak wajar guru tak vaksin diletak tepi tandas, dalam stor

Panas !!! Tidak wajar guru tak vaksin diletak tepi tandas, dalam stor

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah tindakan sekolah tertentu “mengurung” guru yang belum menerima vaksin di tempat tidak sewajarnya seperti dalam stor dan bilik bersebelahan tandas.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, guru berkenaan memang perlu diasingkan namun golongan pendidik itu berhak mendapat layanan yang lebih baik.

“Ini sesuatu yang menyedihkan. Kita harapkan keadaan ini ditambah baik. Memang betul mereka perlu diasingkan. Tetapi meletakkan mereka di tempat berhampiran tandas sangat tidak wajar dan kita harap perkara ini dihentikan. Mereka perlu dapat layanan lebih baik.

“Kementerian dah keluarkan garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah. Dinyatakan mereka perlu diasingkan. Tapi bukanlah diasingkan sampai peringkat begitu sekali,” katanya kepada FMT.

Semalam, tular satu video yang dimuat naik oleh seorang guru kononnya dia diasingkan pihak sekolah dalam sebuah bilik simpanan stor tukang cuci kerana belum menerima vaksin Covid-19.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu tular dalam aplikasi TikTok, sehingga kini sudah mencecah 1.2 juta tontonan.

Dalam carian di laman TikTok, terdapat juga satu video menunjukkan seorang guru diasingkan dalam sebuah bilik bersebelahan tandas.

Aminuddin berkata, NUTP tidak boleh memberikan cadangan di mana tempat sesuai untuk mengasingkan guru terbabit.

“Kemudahan sekolah tidak sama. Tempat mana (nak asingkan guru) bergantung kepada sekolah. Cuma kita harap letakkan mereka di tempat sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai penjawat awam, kehadiran ke sekolah adalah satu kewajipan meskipun belum menerima vaksin.

“Kita ada peraturan. Kehadiran ke tempat kerja itu adalah perlu jika tiada sebab munasabah seperti sakit dan sebagainya. Kita (NUTP) setuju guru tersebut dipanggil ke sekolah tetapi pihak kementerian pun perlu mengelakkan aspek kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Aminuddin berkata, NUTP menggesa Kementerian Pendidikan menetapkan penyelesaian terbaik untuk guru divaksin yang terpaksa mengambil alih tugas guru belum divaksin sehingga membebankan mereka.

“Kita harapkan pengagihan tugas lebih berfokus dapat ditetapkan supaya beban itu tidak beralih kepada guru yang sudah divaksin.

“Guru-guru ini (belum divaksin) adalah guru tetap bukan kontrak. Jadi mereka tidak boleh dibuang,” katanya.

Sumber | FMT

COMMENTS