PANAS | Tiada ruang bagi guru enggan terima vaksin mengajar di kelas

PANAS | Tiada ruang bagi guru enggan terima vaksin mengajar di kelas

Seramai 2,500 guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti, kata Radzi Jidin.

Menteri Kanan Pendidikan itu berkata tindakan juga akan diambil terhadap warga pendidik yang tidak mahu divaksin.

Jelas Radzi, kementeriannya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama kumpulan guru berkenaan.

“Apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.

“Namun begitu, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini dan pada masa sama, kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksinkan ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kanan Pendidikan Bersama Guru Sekolah Rendah Negeri Perlis di sebuah hotel, di Kangar, hari ini.

Katanya, tindakan yang diambil itu adalah mengambil kira keadaan semasa terutama menjelang pembukaan sekolah kelak.

“Jumlah ini tidak ramai dan hanyalah segelintir daripada lebih 400,000 guru di negara ini jadi kita hendak jaga anak kita di sekolah supaya ibu bapa yakin persekitaran di sekolah itu selamat untuk anak kita.

“Ada guru yang tidak dapat divaksin ini atas masalah kesihatan namun ada juga guru yang memberi alasan seperti tidak yakin akan keberkesanan vaksin ini menyebabkan mereka menolak untuk menerima vaksin ini serta pelbagai alasan lagi,” katanya lagi.

Oleh itu katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pusat Pendidikan Daerah (PPD) diminta meneliti alasan yang diberikan guru berkenaan serta menjelaskan keperluan vaksin bagi memastikan ekosistem sekolah selamat.

Sumber | MK