PANAS | Tawaran RM2 juta kembali sokong Umno, ini penjelasan ADUN Rembia

PANAS | Tawaran RM2 juta kembali sokong Umno, ini penjelasan ADUN Rembia

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi satu rakaman audio tular didakwa perbualannya bersama ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengenai tawaran RM2 juta.

Rakaman berdurasi 8.20 saat tersebut didakwa berkaitan tawaran kepada Norhizam untuk kembali menyokong UMNO.

Muhammad Jailani ketika ditemui dalam sidang akhbar berkaitan pelancongan di Ayer Keroh di sini berkata, beliau enggan melayan khabar angin, sebaliknya mahu fokus kepada tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan.

“Kalau kita terima satu-satu spekulasi, sahkan dahulu. Saya tidak mahu layan, saya nak fokus pada kerja.

“Contoh baru-baru ini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) macam-macam spekulasi, macam-macam tohmahan, macam-macam suara. Saya seorang sahaja ke suara serak dekat Melaka ini?,” katanya.

Tambahnya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah, perkara tersebut perlu disahihkan terlebih dahulu dan tindakan susulan boleh diambil sekiranya ia terbukti benar.

“Perkara macam itu saya tidak mahu komen, spekulasi. Kalau sahih kita ambillah tindakan.

“Maaf untuk katakan ini, dengan segala hormatnya, saya tidak layan khabar angin. Tapi fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan kembali sektor pelancongan Melaka.

“DUN sekarang sudah bubar, tidak lama lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mungkin juga darurat, kita tidak tahulah. Pulangkan mandat kepada rakyat, tuan-tuan pilihlah siapa yang betul buat kerja atau main-main politik,” tegasnya.

Terdahulu, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dalam satu wawancara secara dalam talian mendakwa, Norhizam mengakui menerima tawaran bernilai RM2 juta daripada Muhammad Jailani. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS