PANAS | Taktik guna jaket keselamatan polis untuk menyamun kantoi

PANAS | Taktik guna jaket keselamatan polis untuk menyamun kantoi

Taktik seorang pekerja kilang memakai tali pinggang dan jaket keselamatan polis untuk mengaburi kegiatan samunnya akhirnya terbongkar selepas diberkas di kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini, minggu lalu.

Suspek berusia 25 tahun ditangkap ketika sedang bekerja di sebuah kilang di kawasan tersebut kira-kira pukul 5 petang, 21 September lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil siasatan awal, suspek dipercayai aktif melakukan samun di kedai serbaneka, premis peralatan logam serta stesen minyak sekitar daerah Melaka Tengah sejak Julai 2021.

“Pada 17 Julai sehingga 19 September lalu, kita menerima lima laporan kejadian kes samun dan hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak polis berjaya mengesan suspek berkenaan.

“Suspek melakukan kegiatan samun itu seorang diri dan menggunakan sebilah parang untuk menakutkan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.

Tambahnya, penahanan suspek turut menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kejadian samun di daerah ini membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.

Ujarnya lagi, pemeriksaan lanjut kenderaan jenis Ford milik suspek turut menemui, tali pinggang dan jaket keselamatan polis yang dipercayai dipakai suspek untuk mengaburi kegiatan jenayahnya.

“Suspek juga sering berpindah tempat tinggal untuk menyukarkan pihak berkuasa menjejakinya.

“Pemuda itu juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan 392 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

COMMENTS