PANAS | Skandal LCS : Ini serangan terbaru Rafizi terhadap Dr Latiff

PANAS | Skandal LCS : Ini serangan terbaru Rafizi terhadap Dr Latiff

Skandal LCS : Ini serangan terbaru Rafizi terhadap Dr Latiff.   Dalam serangan terbarunya berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan sebanyak mana wang daripada peruntukan RM1.7 bilion untuk alat gantian kapal itu sebenarnya digunakan untuk “barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa”.

Rafizi juga menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad, yang didakwa memiliki perkaitan dengan skandal itu, dipecat daripada kabinet.

“Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Latiff di dalam laporan forensik projek LCS, sehingga sekarang Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

“Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai,” kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata sebahagian besar kontrak Alizes Marine Limited (yang menurutnya syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah untuk membekalkan alat ganti untuk kapal itu.

“Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan,” dakwa Rafizi.

“Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis,” katanya merujuk kepada fakta bahawa Alizes Marine adalah syarikat yang berpangkalan di Perancis.

Dia juga membangkitkan laporan forensik projek itu mendedahkan syarikat tersebut tiada lesen untuk mengeksport alat ganti pertahanan seperti yang didakwa.

Ini menimbulkan persoalan penting, kata bekas ahli parlimen Pandan itu.

Berapa banyak daripada RM1.7 bilion yang dibeli sebenarnya adalah peralatan gantian diperlukan untuk kapal untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, kerana banyak alat ganti sebenarnya adalah barangan kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa?

Apabila Umno BN mendakwa projek telah mencapai 50 peratus kemajuan sehingga 2018, berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini? Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.

Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan: “Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, puting kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.”

Rafizi mendakwa Latiff dan Zainab sebagai “jerung besar” yang mengaut keuntungan daripada projek LCS melalui syarikat luar pesisir yang dilantik sebagai perunding projek walaupun tiada kelayakan.

Justeru, dia menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri memecat Latiff daripada Kabinet dan Muhyiddin pula selaku presiden Bersatu perlu memaklumkan secara rasmi kepada Ismail Sabri siapa yang ingin dicalonkan oleh parti itu untuk menggantikan Latiff.

Untuk rekod, Latiff merupakan anggota Umno sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Ketika masih bersama Umno, dia pernah menjadi timbalan menteri pertahanan ketika kementerian itu dipimpin Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Muhyiddin dan Bersatu benar- benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini,” kata Rafizi lagi.

PANAS | Skandal LCS : Ini serangan terbaru Rafizi terhadap Dr Latiff