PANAS | PN Johor mahu tanding semua kerusi tanpa libatkan Umno

PANAS | PN Johor mahu tanding semua kerusi tanpa libatkan Umno

Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor tanpa kerjasama atau penglibatan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Ir Md Nasir Hashim yakin gabungan Bersatu, PAS, Gerakan serta parti-parti Sarawak dan Sabah itu akan menang di sekurang-kurangnya di 40 kerusi.

“Kemenangan ini akan dibantu atas faktor ketidakmampuan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad menerajui negeri ini,” dia dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian ketika dihubungi.

Rabu lepas, Hasni yan juga pengerusi Umno Johor berkata parti itu dan BN akan bertanding di semua 19 kerusi dimenanginya sebelum ini, termasuk di tiga kerusi yang berpindah ke tangan Bersatu akibat lompat parti.

Pada PRU lalu, BN tewas di 37 daripada 56 kawasan di tangan Pakatan Harapan dan hilang penguasaan di negeri itu buat pertama kali. Beberapa pemimpin kanan seperti bekas menteri besar, Khaled Nordin juga tumbang.

Umno kini memiliki 14 kerusi DUN manakala sekutunya MIC memiliki dua kerusi. Bersatu memiliki 12 kerusi, PAS satu kerusi dan PH 27 kerusi.

Umno Johor merebut kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri berikutan krisis politik akibat ‘Langkah Sheraton’ tahun lalu.

Sementara itu, Md Nasir berkata, Hasni tidak wajar mengeluarkan “provokasi politik” dan sepatutnya menumpukan usaha memerangi Covid-19.

Katanya, Hasni tidak serius menangani pandemik kerana baru 40 peratus rakyat Johor yang menerima vaksin.

“Jumlah itu sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain,” katanya.

Sumber | MK

COMMENTS