Panas! Menjadi suatu yang ‘pelik’, Azam Baki tidak tahu pihak lain guna akaunnya – Dr Maza

Panas! Menjadi suatu yang ‘pelik’, Azam Baki tidak tahu pihak lain guna akaunnya – Dr Maza

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin secara sinis dilihat memberi reaksi berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menerusi Twitter rasminya, Dr MAZA official, beliau menegaskan adalah satu hal yang menghairankan apabila seorang yang mengetuai badan penyiasat korupsi tidak mengetahui ada pihak lain menggunakan akaun sendiri.

Sehubungan itu, Mohd Asri yang dikenali dengan kelantangannya bercakap dan menulis itu mengingatkan bahawa Malaysia berada dalam tahap rasuah yang kronik sekiranya tiada siasatan yang sewajarnya.

“Kereta saya adik guna, saya tak perasan, itu mungkin berlaku.

“Tapi jika saya selama ini saya ketua penyiasat akaun rasuah orang lain, tiba-tiba saya tak tahu akaun saya digunakan oleh pihak lain, itu sangat pelik.

“Jika tiada siasatan telus, maka negara ini di tahap korupsi yang tenat,” katanya.

Terdahulu, menerusi satu kenyataan kepada media, Mohd Asri menggesa seluruh kepemimpinan SPRM disemak dan dirombak semula.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah perlu, demi menjamin keadilan dan ketelusan pentadbiran negara ini.

“Melihat kepada surat sokongan anggota SPRM kepada Ketua Pesuruhjaya,Tan Sri Azam Baki, maka pada pendapat saya, demi keadilan dan ketelusan pentadbiran negara ini, saya ingin mencadangkan seluruh kepimpinan SPRM disemak semula dan sebolehnya dirombak.

“Bagaimana mungkin mereka boleh membuat keputusan awal bahawa bos mereka menjadi mangsa politik padahal siasatan belum dibuat dan cara beliau menafikan sebelum ini juga tidak masuk akal,” katanya.

Kenyataan Mohd Asri itu susulan kenyataan sokongan tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM terhadap Azam Baki apabila berpendirian tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Ketiga-tiga mereka iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (Pencegahan) dan Datuk Junipah Binti Wandi (Pengurusan dan Profesionalisme) menggesa supaya semua pihak menghentikan kemelut itu dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

Kelmarin, Azam yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac tahun lalu, berkata dia bersedia jika kes yang didakwa membabitkannya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dan turut bersedia untuk menyerahkan kepada budi bicara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Malah, beliau menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa seperti yang didakwa pihak tertentu.

Kontroversi berlarutan berkaitan Azam dilihat mengundang lebih banyak persoalan apabila Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Azam memberitahu mesyuarat khas LPPR pada 24 November lalu bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli sejumlah saham pada 2015 yang dibuat di pasaran saham terbuka.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham itu pada 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.

Sumber | MD