PANAS | Mahkamah diberitahu, RM5.9 juta diberi kepada yayasan adik Zahid untuk beli tanah

PANAS | Mahkamah diberitahu, RM5.9 juta diberi kepada yayasan adik Zahid untuk beli tanah

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu dana berjumlah RM5.9 juta yang diserahkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi kepada yayasan milik adiknya dibuat bagi tujuan pembelian dua lot tanah di Kajang untuk tujuan keagamaan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berkata, sebuah masjid sudah dibina di satu lot tanah terbabit dan ia dibuat menerusi pembuktian daripada Yayasan Al-Falah milik Mohamad Nasaee di mahkamah, manakala baki lot tanah belum lagi dibangunkan.

“Saksi (Faisaluddin Mohamat Yusuff), yang juga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, mengesahkan bahawa tertuduh (Zahid) membuat pembayaran untuk dua lot tanah itu menggunakan dana daripada Yayasan Akalbudi.

“Sumber wang berkenaan adalah hasil derma dua ahli perniagaan, iaitu Mubarak Hussain Akhtar Husin dan Junaith Asharab Md Shariff.

“Mereka berkata, mereka menderma wang kepada Yayasan Akalbudi secara sukarela,” katanya di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sebelum ini, Mubarak memberitahu mahkamah bahawa beliau menderma sebanyak RM2 juta kepada Yayasan Akalbudi pada 2016, manakala Junaith pula menderma RM5 juta kepada yayasan terbabit pada 2017.

Dana berkenaan didepositkan menerusi akaun milik firma guaman Lewis & Co dan selanjutnya dipindahkan ke akaun deposit tetap.

Zahid berdepan perbicaraan berhubung 47 pertuduhan penggubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana daripada Yayasan Akalbudi, termasuk menerima rasuah membabitkan pelbagai projek ketika menjawat jawatan sebagai menteri dalam negeri.

Pihak pembelaan berkata, pendakwaan gagal membuktikan dana digunakan bagi membeli tanah berkenaan berpunca daripada sumber tidak sah.

Hisyam turut memberitahu mahkamah bahawa pengurup wang, Omar Ali Abdullah, membuat kenyataan bercanggah.

“Ketika pemeriksaan utama, Omar berkata, tertuduh mengarahkan beliau menukar RM7.5 juta kepada 35 keping cek, namun mengambil pendirian berbeza selepas pemeriksaan balas dan berkata, beliau sendiri menukar cek terbabit atas kehendak sendiri,” katanya.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Sequerah.

Seorang lagi peguambela, Hamidi Mohd Noh, meminta perbicaraan bersambung pada tengah hari dengan memberi alasan Zahid perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada sebelah pagi.

“Ahli Parlimen dijangka mengundi bagi pemilihan timbalan speaker baharu pada sebelah pagi,” katanya.

Susulan itu, Sequerah memerintahkan mahkamah bersambung semula 2.30 petang esok.

Sumber | FMT

COMMENTS