PANAS | Lewat pulang kenderaan, polis rampas kereta rasmi bekas Exco Melaka

PANAS | Lewat pulang kenderaan, polis rampas kereta rasmi bekas Exco Melaka

Polis merampas kereta rasmi ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee di sebuah kondominium di Melaka.

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali berkata, rampasan semalam itu menyusul laporan polis yang dibuat oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka pada Isnin “mengenai kereta Toyota Camry berwarna hitam dengan nombor pendaftaran MAL 3” yang tidak dipulangkan Norhizam, yang juga bekas Exco.

Bekas pemimpin DAP itu adalah seorang daripada empat ADUN Melaka yang menarik balik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali pada 4 Okt lalu menyebabkan kerajaan pimpinannya kehilangan sokongan majoriti.

Ia seterusnya menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya mengejut.

Majid berkata, siasatan awal mendapati surat arahan memulangkan kenderaan itu telah dikeluarkan oleh ketua penolong setiausaha kanan kerajaan negeri pada 5 Okt dan diserahkan kepada pegawai khas Norhizam.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis turut merampas satu anak kunci kereta, sekeping kad Touch ‘N Go dan satu kad minyak daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu rasmi Norhizam.

Seksyen 403 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Majid berkata, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta itu boleh diletakkan di tempat letak kereta kondominium terbabit dan kaitannya dengan pemilik lot tempat letak kereta berkenaan.

Sumber | FMT

COMMENTS