PANAS | Lagi kakitangan agensi kerajaan direman, terima wang suapan RM180,000

PANAS | Lagi kakitangan agensi kerajaan direman, terima wang suapan RM180,000

Polis menahan reman seorang lagi kakitangan agensi kerajaan selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil membenarkan perintah reman sehingga 15 Oktober terhadap lelaki berusia 57 tahun itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, lapor Harian Metro.

Semalam, dua kakitangan agensi yang sama direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia 37 dan 40 tahun itu disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Di mahkamah sama juga, seorang penolong pegawai agensi perladangan direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Perintah reman sehingga 17 Oktober itu dikeluarkan majistret Fatina Amyra Abdul Jalil terhadap suspek lelaki berusia 41 tahun.

Media melaporkan sebelum ini, SPRM Selangor menahan seorang penolong pegawai sebuah agensi perladangan bagi membantu siasatan kes kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira sekitar 4 petang di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberikan keterangan.

Sumber memaklumkan sekitar 2018, suspek pada masa itu bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi sama di kawasan Klang, telah bersubahat dengan seorang pemilik syarikat dalam mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan tersebut sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Sumber | FMT

COMMENTS