Panas! Ketua Hakim Syarie saman fitnah Lokman Adam RM30 juta

Panas! Ketua Hakim Syarie saman fitnah Lokman Adam RM30 juta

Ketua Hakim Syarie Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam bagi menuntut ganti rugi RM30 juta.

Saman fitnah itu berhubung beberapa hantaran di laman sosial membabitkan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang yang bergelar ‘Datin’.

Mohd. Na’im, 55, yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 17 Januari lalu dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan tunggal di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Mohd. Na’im mendakwa defendan telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari lalu.

Dakwa plaintif defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadapnya di Facebook milik defendan

Kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Mohd Na’im juga mendakwa siaran langsung dan hantaran itu telah tersebar kepada pihak ketiga kerana Facebook dan YouTube milik defendan dapat ditonton dan dikomen oleh masyarakat umum.

Ekoran kenyataan-kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, mencalarkan imej, menjatuhkan maruah dan merendahkan status plaintif di mata masyarakat.

Menurut plaintif, berikutan itu satu laporan polis telah dibuat pada 12 Disember tahun lalu bagi menafikan dakwaan dan tuduhan palsu ‘Datin’ berkenaan terhadapnya.

Dalam pada itu, plaintif juga turut membuat laporan polis terhadap Lokman agar pihak polis membuat siasatan terhadap defendan.

Plaintif berkata notis tuntutan bertarikh 13 Januari lepas dikeluarkan terhadap defendan supaya defendan menarik balik kenyataan fitnah serta memadamkan hantaran di Facebook selain membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Namun sehingga hari ini defendan tidak mengendahkan laporan polis dan notis tersebut,” kata plaintif yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi.

Justeru plaintif memohon suatu injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

Menerusi semakan mahkamah, permohonan injunksi itu akan didengar esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff manakala pengurusan kes pada 21 Februari ini. – K! ONLINE