PANAS | Kes positif staf parlimen sebulan lalu bukan alasan tangguh parlimen

PANAS | Kes positif staf parlimen sebulan lalu bukan alasan tangguh parlimen

Kes positif Covid-19 melibatkan kakitangan parlimen sebenarnya sudah sebulan berlalu, menurut sumber.

Setakat ini, sumber berkata, majoriti kakitangan parlimen telah divaksinasi menjelang pembukaan semula Dewan Rakyat pada 26 Julai, selepas tergantung sejak 11 Januari susulan Proklamasi Darurat.

“Setakat ini, 80 peratus daripada kita telah divaksinasi.

“Kes tersebut berlaku satu bulan yang lalu,” kata sumber, menjelaskan laporan Utusan Malaysia.

10 ada gejala?

Terdahulu, Utusan melaporkan kes-kes positif yang dikesan di kalangan pengawal keselamatan parlimen dengan lebih daripada 10 orang menunjukkan gejala Covid-19.

Laporan itu memetik seorang kakitangan parlimen yang tidak dinamakan sebagai berkata sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 26 Julai itu akan diteruskan.

“Ikutkan jadual yang ada, sidang Dewan Rakyat akan tetap berlangsung 26 Julai ini. Tetapi saya tidak tahu bagaimana keadaannya jika ia tetap berlangsung dalam keadaan kes Covid-19 di parlimen pun ada.

“Sebab virus itu boleh tersebar melalui pengudaraan di sesebuah kawasan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Bukan alasan tangguh parlimen – PKR

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata kes-kes itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan persidangan.

“Di kementerian-kementerian juga dari masa ke semasa akan ada kes positif. Pegawai positif dirawat, kontak rapat dikuarantin, dan kementerian tetap berjalan.

“Prinsip sama perlu digunapakai untuk parlimen. Banyak perkara perlu dibahas, dipertimbang, diputuskan. Ini tidak patut dijadikan alasan untuk tangguh sidang 26 Julai,” kata ahli parlimen Lembah Pantai itu.

Kerajaan memutuskan mengadakan sidang parlimen khas pada 26 Julai, setelah Yang di-Pertuan Agong telah beberapa kali bertitah berhubung perkara tersebut.

Ahli parlimen pembangkang sebelum ini menzahirkan kebimbangan dengan menjangkakan sidang tersebut akan menjadi seperti sesi taklimat kerajaan, apabila kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak menyebut mengenai sesi perbahasan Dewan.

Berita penuh | MK