PANAS | Jawatan TPM : SU politik Azmin dedah kisah sebenar

PANAS | Jawatan TPM : SU politik Azmin dedah kisah sebenar

Seorang pegawai Azmin Ali menafikan laporan yang mendakwa ahli parlimen Gombak itu mengugut untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika dia tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham berkata laporan yang disiarkan Malaysiakini dan Free Malaysia Today adalah “sama sekali palsu, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab”.

“Laporan tersebut diyakini bertujuan untuk menggugat kestabilan dan perpaduan yang semakin utuh dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendukung kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Amat dikesali, kedua-dua portal media tersebut tidak dapat mengesahkan kebenaran sumber yang dilaporkan demi menjamin laporan yang tepat dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Malaysiakini ada menghubungi beberapa ahli politik Bersatu yang dilihat sebagai penyokong Azmin – serta Hilman – sebelum laporan tersebut disiarkan tengah hari tadi.

Baca: Azmin bakal jadi TPM, kata sumber Bersatu dan Umno

Dalam laporan itu, sumber daripada Umno dan Bersatu memberitahu Malaysiakini yang Azmin besar kemungkinan akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, dua sumber Umno – yang berbeza kem – juga mendakwa Azmin mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail bersama penyokongnya jika tidak diberikan jawatan itu.

Malaysiakini juga memetik kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang menafikan ugutan seumpama itu dibuat.

Azmin merupakan seorang daripada tiga pemimpin Bersatu yang dipertimbang untuk menjadi timbalan Ismail Sabri.

Dua lagi adalah setiausaha agung Hamzah Zainuddin dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Redzuan Mohd Yusof.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga menggesa jawatan timbalan perdana menteri kedua diwujudkan untuk diisi ahli parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sumber | MK