PANAS | Isu penyata hutang peneroka Felda berbangkit sejak 20 tahun yang lalu dipertikai

PANAS | Isu penyata hutang peneroka Felda berbangkit sejak 20 tahun yang lalu dipertikai

Sesi perbincangan mengenai pelupusan sebahagian pinjaman peneroka bersama YB Dato’ Sri Mustapha Mohamed, Menteri JPM(Ekonomi)secara aplikasi zoom meeting malam tadi

1. Isu penyata hutang peneroka sentiasa berbangkit sejak 20 tahun yang lalu. Kegagalan Felda menyediakan penyata yang tepat dan lengkap. Meskipun pelupusan dibuat kepada 80 peratus hutang peneroka, ia masih jadi pertikaian kerana ada peneroka/waris mendakwa jumlah yang dinyatakan bukan gambaran sebenar. Bahagian Kewangan mesti memperbetulkannya semula.

2. Elemen dalam sesuatu kontrak termasuk perjanjian antara Felda dan Peneroka adalah tawaran(offer), penerimaan(acceptance) dan balasan(consideration)

Balasan mestilah dipersetujui kedua dua belah pihak. Dalam hal ini, adalah tidak adil jika beban perlanggaran terma perjanjian hanya tertanggung kepada peneroka. Tindakan perundangan/mahkamah boleh dikenakan kepada peneroka/waris manakala peneroka boleh mengadu kepada Jawatankuasa Tanam Semula jika kesalahan dilakukan pengurusan Felda. Unsur berat sebelah samada Perjanjian antara Felda dan Peneroka, Perjanjian Tanam Semula, Perjanjian Pembelian Saham FGV dan kini Perjanjian Penghapusan hutang Peneroka. Pindaan atas terma perjanjian kena dibuat untuk mempastikan Felda juga di kenakan tindakan perundangan jika melakukan perlanggaran.

3. Pada ketika ini, jumlah peneroka asal yang masih hidup tak sampai 40 peratus. Generasi Baharu Felda adalah kelompok majoriti. Di sudut Akta GSA 1960, apa status mereka?

Sebagai ‘waris’, mereka yang bertanggungjawab atas beban hutang dan terma perjanjian. Adalah penting, Akta GSA 1960 dipinda bagi memuktamadkan status ‘waris’ agar ianya jelas dari sudut akta; apatah lagi dibawah kaedah faraid.

4. Isu Peneroka bersama Felda dan mengurus kebun secara persendirian timbul akibat tidak puashati dengan pengurusan kebun peneroka. Kemampuan Felda Technoplant dipertikaikan, peneroka merungut kerana mereka beroleh pendapatan yang rendah, meskipun kebun 10 ekar. Pengurusan kebun yang berkesan mesti distrategikan, ia gambaran keyakinan peneroka kepada Felda.

Dalam konteks sosio ekonomi, tanam semula harus diintergrasikan dengan tanaman jangka pendek dan kontan. Ia penting sebagai pendapatan sampingan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sawit atau getah semata mata; sekaligus mengurangkan hutang tanam semula peneroka.

Perbincangan yang menarik dan kita mengharapkan ada susulan untuk penambahbaikan. Tempoh semakan pun telah dilanjutkan sehingga 11 ogos bagi memberi lebih ruang kepada peneroka atau waris.

Turut hadir YB Pengerusi Felda, Pengarah Besar Felda dan pegawai2 kanan Felda.

Terimakasih atas kesediaan pihak Kerajaan dan pengurusan tertinggi Felda menganjurkan perbincangan ini demi kepentingan warga felda pada keseluruhannya.

Moga isu besar memuktamadkan penyata hutang peneroka akan sampai ke titik noktahnya. InshaAllah.

‘ menerajui perubahan ‘

Datuk Mazlan Aliman
Mantan Presiden Persatuan
Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK)
15 Julai 2021