Panas!!! Ibu curi Milo dipenjara, di mana suara PAS – Raja Bahrin

Panas!!! Ibu curi Milo dipenjara, di mana suara PAS – Raja Bahrin

Alhamdulillah kita baru sahaja menyambut Maal Hijrah – tahun baru Islam, dengan peluang memulakan tahun baru bersih dari fitnah dan dosa.

Malangnya pada hari pertama sebaik sahaja kita menyambut Maal Hijrah, dalam acara pelancaran Perikatan Nasional Negeri Terengganu di Marang, Terengganu, berbagai tuduhan buruk dan fitnah telah dilontarkan kepada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, serta ahli-ahlinya oleh presiden sebuah parti yang mengakui diri sebuah parti Islam iaitu PAS.

Dalam tempoh 22 bulan, tidak sampai separuh penggal pun PH berkuasa apabila kami digulingkan, kami telah dituduh bohong dan tidak menunaikan manifesto.

Adalah sangat tidak adil memandangkan Pakatan Harapan hanya mentadbir selama 22 bulan berbanding dengan kerosakan 60 tahun pemerintahan kerajaan BN sebelum itu yang perlu dibaiki.

Tetapi bagaimanapun pelbagai langkah permulaan telah kami ambil dan ada yang telah sempat ditukar dalam tempoh yang singkat itu.

Penyelamatan aset Tabung Haji yang diakui oleh Jabatan Audit Negara sendiri adalah di antara pencapaian kerajaan Pakatan Harapan dan juga menyelamat RM555 juta wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang diumum di parlimen baru baru ini.

Persoalan kami pula kepada Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Perikatan Nasional, mengapa hingga sekarang tiada kedengaran langsung langkah permulaa isu RUU 355, hukum hudud serta perundangan Islam lain yang digembar-gemburkan dahulu di seluruh negara?

Tiada kedengaran apa-apa langkah permulaan pun.

Ditakdirkan Allah satu hukuman yang amat berat dan tidak padan dengan kesalahan telah dijatuhkan oleh Mahkamah Marang di kawasan presiden PAS ke atas seorang wanita baru baru ini.

Hukuman penjara 14 bulan telah dijatuhkan ke atas seorang ibu yang mengambil 2 paket Milo bernilai RM73 untuk anaknya yang lapar.

Di manakah suara dan pembelaan wakil rakyat PAS dan PN dari kerajaan yang mengelar diri kerajaan pembela Melayu Islam tentang isu ini yang berlaku di bumi parlimen Marang, kawasan Presiden PAS dan menteri besar Terengganu sendiri?

Ini bukan tuduhan tetapi ini adalah fakta realiti perkara yang telah berlaku dan wakil wakil rakyat kerajaan yang kekal membisu.

Presiden PAS juga mendakwa PN telah berjaya mengatasi masalah ekonomi padahal masalah bekalan ayam dan telur ayam di Terengganu begitu buruk hingga pada suatu masa putus bekalan telur ayam.

Sebelas orang penjual ayam di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu telah dikenakan kompaun RM500 seorang kerana menjual ayam dengan harga lebih RM8.90 satu kilo di mana tidak lama selepas itu kerajaan sendiri menaikan harga kepada RM10.30.

Apabila flashmob membantah kenaikan harga barang diadakan di Kuala Terengganu, jalan-jalan utama telah ditutup dan ada yang dikenakan kompaun RM1,500 serta ramai dipanggil pihak polis untuk disoal siasat di balai polis. Tiada tindakan seperti ini berlaku di negeri lain.

Apa yang kerajaan Melayu Islam takut sangat di Terengganu ini sehingga bertindak begitu sekali ?

Perkara paling aneh dan mencuit hati adalah tuduhan kononnya manifesto PH yang dikatakan berbohong telah dibuat oleh Presiden PAS semasa Tan Sri Mahiaddin yang berada sebelah beliau di atas pentas program pelancaran Perikatan Nasional di Terengganu.

Ironinya Tan Sri Mahiaddin adalah Presiden PBBM yang bertanggungjawab bersama menyediakan manifesto PH dan kini menjadi rakan akrab PAS dalam PN.

Di atas tuduhan-tuduhan di atas dan beberapa tuduhan serius lain, Pakatan Harapan sedang mengkaji untuk tindakan seterusnya.

Selain dari janji-janji manis tidak tertunai seperti RUU 355 dan hudud, kerajaan Melayu Islam PN patut memberi sedikit perhatian ke atas pembelaan hukuman berat 14 bulan penjara seorang wanita Melayu bernama Suhaini Mohd yang beragama Islam yang didakwa di Mahkamah Marang, iaitu di kawasan Presiden PAS dan juga Menteri Besar Terengganu- YB Dato Seri Shamsuri.

Bagaimana nasib malang dan kemiskinan begitu rupa boleh dibenarkan berlaku di kawasan presiden dan Naib Presiden PAS di Marang sendiri tanpa pembelaan yang sepatutnya?

Kerana itulah kami perlu mengingatkan kerajaan melalui flashmob tentang kesusahan semasa rakyat di mana kerajaan tidak sepatutnya menghalang kami daripada bersuara tentang penderitaan mereka dengan mengadakan berbagai sekatan dan halangan.

RAJA BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Amanah dan PH Terengganu.

Sumber : MK