PANAS | Faktor kesihatan Osman Sapian letakkan kedudukan DUN Johor semakin getir

PANAS | Faktor kesihatan Osman Sapian letakkan kedudukan DUN Johor semakin getir

Faktor kesihatan yang menimpa bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian meletakkan kedudukan politik negeri ini dalam keadaan lebih getir apabila dijangka tidak dapat hadir pada pembentangan Belanjawan 2022 sekaligus menyebabkan kekurangan undi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keadaan kekurangan undi itu boleh mengundang pelbagai kemungkinan terhadap senario politik di negeri ini termasuk apa yang berlaku di Melaka.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad tentang sebarang kemungkinan menjelang pembentangan itu yang dijadual bermula 25 November ini.

“Pergolakan politik di Melaka tidak mustahil berlaku di Johor berikutan majoriti tipis dimiliki kerajaan negeri iaitu hanya 29 kerusi berbanding PH mempunyai 27 kerusi. Jika ada ADUN menarik sokongan pasti akan menimbulkan masalah dari segi majoriti.

“Kami sedia maklum dengan keadaan kesihatan Osman yang membimbangkan. Sekiranya beliau tidak dapat hadir, pastinya jumlah undi yang diperoleh bagi meluluskan bajet itu akan berkurangan.

“PH sentiasa memikirkan kebajikan rakyat dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Jadi, kami sentiasa bersedia duduk semeja untuk mengadakan perbincangan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Batu, di sini hari ini.

Rabu lalu, Osman dilaporkan telah mengalami serangan angin ahmar ketika berada di kediamannya sebelum dibawa ke sebuah hospital di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan dipercayai akan menjalani pembedahan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu menjadi pencetus teori domino terhadap percaturan politik di negeri yang mempunyai majoriti tipis seperti Perak dan Johor.

Jika PRN Melaka berlangsung dengan berjaya tanpa peningkatan serius kes Covid-19, tidak mustahil negeri lain mahu mencuba nasib membubarkan DUN jika wujud ketidakpuasan dalam kalangan ADUN dan akhirnya membuka ruang kepada PRN.

Ditanya tentang persediaan menghadapi PRN Melaka, Wee Tse berkata, sebagai negeri yang berhampiran, PKR Johor bersedia mengerahkan kekuatan penuh seluruh petugas parti bagi membantu kemenangan calon-calon PH terutama dari PKR.

“Kami akur dengan keputusan yang diputuskan untuk PRN diadakan di Melaka. Sudah tentu kami akan sentiasa berada di belakang PH Melaka menyokong aktiviti berkempen yang dilakukan.

“Kita akan menghantar seramai mungkin petugas parti ke sana bagi membantu kemenangan calon PKR dan PH. Kita akan pastikan kempen dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN

COMMENTS