Panas !!! Ceramah Syed Saddiq di Muar kecoh

Panas !!! Ceramah Syed Saddiq di Muar kecoh

Sebuah ceramah di Muar yang menampilkan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diganggu oleh sekumpulan anak muda yang membuat bising semasa beliau berucap.

Majlis itu berjalan lancar ketika beberapa penceramah, termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, berucap kepada hadirin.

Bagaimanapun, kekecohan bermula di tengah-tengah ucapan Syed Saddiq, yang muncul sebagai penceramah terakhir.

Beberapa orang anak muda berkumpul di luar khemah ceramah dan berkali-kali menjerit memanggil Syed Saddiq “penipu”.

Hadirin yang sedang mendengar ucapan Syed Saddiq kemudian membalas jeritan kumpulan tersebut dengan meminta mereka untuk “balik”.

Polis dilihat menghalang kumpulan itu daripada menghampiri.

Syed Saddiq menzahirkan rasa kecewa terhadap kumpulan itu, yang turut membuat bising dengan motosikal mereka.

“Saya tak ada masa nak lawan dengan mereka kerana saya di sini nak bela orang Muar, bukan nak biarkan mereka susah dan sengsara.

“Apabila tak boleh nak lawan secara hujah, inilah cara mereka.

“Kepada anak-anak muda di luar sana, jangan jadi pencacai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya hanya akan melawan menerusi perbahasan.

“Jika mereka ingat mereka boleh diamkan kita dengan motosikal, silap lah.

“Kita akan lawan, tetapi dengan debat. Itu semangat sebenar anak Muar,” katanya.

Kekacauan sebegini bukan perkara asing dihadapi bekas menteri belia dan sukan itu. Pada Oktober 2020, beliau terpaksa memanjat pagar belakang untuk melarikan diri daripada puluhan anak muda yang mengepung sebuah perhimpunan di Ulu Tiram, Johor.