PANAS | Cabutan judi 22 kali : PAS janji akan ada “tentangan lebih hebat” jika tidak dibatalkan

PANAS | Cabutan judi 22 kali : PAS janji akan ada “tentangan lebih hebat” jika tidak dibatalkan

Seorang ahli parlimen PAS hari ini berkata, kerajaan “wajib” untuk membatalkan keizinan yang diberikan kepada syarikat judi untuk mengadakan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini.

Menurut Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) ada banyak cara lain untuk kerajaan menaikkan pendapatan negara dan bukannya dengan menaikkan kekerapan cabutan khas tersebut.

Dia juga menjanjikan akan ada lagi “tentangan lebih hebat” terhadap keputusan Putrajaya itu jika ia tidak dibatalkan.

“Saya berdiri di sini untuk menyatakan bahawa kerajaan wajib untuk menarik balik langkah ini sebelum berdepan dengan tentangan lebih hebat sama ada di dalam dewan ini atau di luar sana, kerana judi – dalam apa bentuk sekali pun – akan menyebabkan kesan jangka pendek dan panjang terhadap keberkatan hidup rakyat,” katanya.

Ahmad Fadhli yang juga timbalan ketua Pemuda PN berkata demikian semasa mengambil giliran membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Kerajaan baru-baru ini mengesahkan memberi izin kepada semua syarikat perjudian untuk melakukan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini berbanding ketetapan dibuat Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan itu menguasai Putrajaya pada 2018.

Asalnya cabutan khas itu memang diadakan 22 kali setahun namun dikurangkan oleh PH kepada 11 kali untuk 2019 dan hanya lapan kali pada 2020.

Sebelum ini Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, turut mengkritik keizinan yang diberikan Kementerian Kewangan itu dan memuji ketetapan dibuat PH.

Ahmad Fadhli berkata keputusan mengembalikan kekerapan cabutan khas itu kepada 22 kali setahun adalah langkah yang terbalik kerana kerajaan sepatutnya memberikan keharmonian kepada hidup rakyat.

“Walau apa pun hujahnya, (kadar kekecapan cabutan khas) judi tidak boleh dinaikkan,” katanya.

Sumber | MK

COMMENTS