PANAS | Berang tidak dapat wang, anak bakar rumah ibu

PANAS | Berang tidak dapat wang, anak bakar rumah ibu

Seorang lelaki ditahan apabila disyaki membakar rumah ibunya selepas tidak mendapat wang di Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, penganggur berusia lingkungan 30-an tersebut ditahan di sekitar tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai kerani memaklumkan rumahnya telah terbakar pada pukul 3.30 petang.

“Pengadu yang berada di tempat kerja segera pulang dan mendapati api sedang marak dan pihak bomba sedang berusaha memadam api.

“Hasil siasatan mendapati rumah tersebut adalah rumah kampung jenis berkembar dan suspek merupakan saudara yang tinggal bersebelahan rumahnya,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Vijaya Rao memberitahu, sebelum kejadian berlaku, suspek dikatakan telah berjumpa dengan ibunya tidak jauh dari tempat kejadian untuk meminta wang tetapi gagal.

Ujarnya, suspek telah membuat ugutan kepada ibunya yang dia akan membakar rumah jika tidak diberikan wang sebelum beredar.

“Semasa kejadian berlaku, rumah pengadu tidak berpenghuni kerana keluar bekerja dan suspek yang berusia lingkungan 30-an pula merupakan seorang penganggur dan baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah,” ujarnya.

Suspek ditangkap pada pukul 6 petang dan ditahan reman selama empat hari sehingga 15 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dengan menggunakan api.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.34 petang dan tiba ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Ujarnya, api dapat dikawal pada pukul 3.50 petang dan siasatan di lokasi mendapati tiada mangsa dalam kejadian tersebut yang melibatkan kemusnahan sebanyak 90 peratus. – UTUSAN ONLINE

COMMENTS