PANAS | Berang anak saudara menangis, lelaki amuk tikam bapa guna pisau potong sayur

PANAS | Berang anak saudara menangis, lelaki amuk tikam bapa guna pisau potong sayur

Seorang lelaki mengalami masalah mental bertindak menikam bapanya hanya kerana marahkan anak saudaranya yang dibiarkan menangis dalam kejadian amuk di sebuah rumah berhampiran Pasar Bachok, Kelantan semalam.

Dalam kejadian itu, warga emas Azmail Mohd Salmon, 66, cedera pada bahagian leher, kepala, telinga, tapak tangan dan lengan selepas ditikam anaknya yang berusia 28 tahun menggunakan pisau pemotong sayur.

Ketua Polis Daerah Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 11.11 pagi.

Beliau berkata, mangsa seorang pesara kerajaan telah dimarahi dan dipukul menggunakan tangan oleh suspek kerana membiarkan seorang cucunya yang berusia empat tahun menangis.

“Seorang lagi cucu mangsa berusia 16 tahun cuba menghalang tindakan suspek itu namun tidak berjaya. Suspek yang berusia 28 tahun kemudian pergi ke dapur mengambil sebilah pisau dan menikam bapanya beberapa kali pada bahagian kepala,” katanya menurut laporan Bernama.

Ismail berkata, seorang lagi anak lelaki mangsa kemudian telah membawa bapanya itu untuk rawatan di Klinik Kesihatan Bachok dan mangsa dilaporkan stabil.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak lima tahun lepas dan akan mengambil ubat setiap enam bulan.

“Sebilah pisau ukuran lebih kurang 20cm yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu telah dirampas. Saringan air kencing suspek juga didapati negatif sebarang dadah,” menurut beliau.

Tambahnya lagi, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sumber | FMT