Panas! Benar adik beli jutaan saham atas nama Azam Baki dipersoal

Panas! Benar adik beli jutaan saham atas nama Azam Baki dipersoal

Kalangan Ahli Parlimen mempersoalkan keperluan adik Azam Baki membeli jutaan saham syarikat tersenarai dengan menggunakan akaun dagangan milik pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Pada sidang media semalam, Azam memberitahu beliau membenarkan adiknya, Nasir membeli saham menggunakan akaunnya pada 2015 dan pihak atasan dimaklumkan mengenai perkara itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, Azam perlu menjelaskan mengapa Nasir tidak membeli saham menggunakan akaun sendiri, sebaliknya menggunakan akaun dagangan beliau.

“Mengapa adiknya perlu menggunakan akaun dagangan Azam?” soal mereka.

“Orang ramai tidak mempercayai penjelasan Azam (semalam). Perkara ini perlu dijawab oleh beliau,” kata mereka.

Terdahulu, beberapa orang peguam dan Ahli Parlimen turut mendesak Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyiasat sama ada Azam melanggar undang-undang pemilikan saham apabila membenarkan adiknya menggunakan akaun perdagangan saham miliknya.

Gesaan itu dibuat oleh peguam Rafique Rashid Ali dan M Manoharan serta Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Rafique merujuk kepada Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) yang menyatakan urus niaga akaun sekuriti mestilah atas nama pemilik yang menerima manfaat.

Selain SC, Khoo dan Chan turut menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-agensi bawah Jabatan Perdana Menteri menyiasat Azam.

Dua Ahli Parlimen yang juga ahli jawatankuasa itu berkata, dakwaan Azam bahawa beliau hanya perlu menjawab kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM tersasar.

“Azam diingatkan bahawa SPRM diwujudkan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM), statut yang diluluskan oleh Parlimen,” kata mereka.

“Beliau mungkin boleh mendakwa bahawa dirinya tidak perlu menjawab kepada pihak lain, tetapi kami Ahli Parlimen, sebagai penggubal undang-undang, mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang sewajarnya.

“Kami boleh meminda akta berkenaan untuk memperketatkan apa-apa peruntukan demi kepentingan rakyat,” kata mereka.

Dua Ahli Parlimen itu turut menggesa Azam menjelaskan sumber wang yang digunakan untuk membeli saham berkenaan, selain mempersoalkan sama ada beliau memenuhi kriteria pengisytiharan aset berdasarkan pekeliling kerajaan yang mewajibkan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka.

FMT cuba mendapatkan Azam untuk mengulas desakan tersebut.

Isu itu tercetus pada 14 Dis lalu apabila Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah mendakwa Azam adalah pemilik lebih empat juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu beliau merupakan Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Sumber | FMT