Panas !!! Bekas COO mengaku tak salah pecah amanah RM1.28 juta

Panas !!! Bekas COO mengaku tak salah pecah amanah RM1.28 juta

Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 38 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM1.28 juta tiga tahun lepas.

Ng Siew Eng, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Tertuduh, dari Shah Alam, Selangor didakwa menyalahgunakan wang syarikat untuk kegunaan sendiri antara 26 Julai dan 15 Okt 2018 di sebuah premis perniagaan di kawasan perindustrian Gebeng di sini dengan mengeluarkan 38 keping cek.

Cek itu, yang bernilai antara RM4,800 dan RM110,036, didakwa dikeluarkan atas nama kad kredit tertuduh serta tiga ahli keluarganya termasuk suami.

Ng didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat menawarkan jaminan RM38,000 dengan seorang penjamin kepada Ng bagi semua pertuduhan.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan tertuduh perlu menjalani rawatan susulan akibat sakit jantung dan asma kronik.

“Laporan polis berhubung kejadian ini dibuat pada 6 Nov 2018 dan tertuduh telah dipanggil untuk dirakamkan percakapan pada tahun sama. Sejak itu, dia tidak pernah cuba melarikan diri termasuk apabila dimaklumkan untuk hadir ke mahkamah pada Jumaat lepas.

“Tertuduh kini tidak lagi bekerja dan saya dimaklumkan bahawa tertuduh giat melakukan operasi menyelamatkan kucing serta anjing liar dengan memberi makan dan mencarikan tempat tinggal buat haiwan tersebut,” katanya.

Mohd Kafli membenarkan Ng diikat jamin sebanyak RM36,400 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tertuduh menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 6 Jan depan sebagai sebutan semula kes.

Sumber | FMT

COMMENTS