PANAS | Agong bertitah terima ratusan surat daripada rakyat, rintih penuh duka

PANAS | Agong bertitah terima ratusan surat daripada rakyat, rintih penuh duka

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa baginda menerima ratusan surat daripada rakyat yang merintih agar perubahan dapat dikecapi segera bagi meneruskan kelangsungan hidup seharian.

Sultan Abdullah bertitah, negara dan rakyat sudah terlalu lama dibelenggu dengan masa depan kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Ratusan pucuk surat telah beta terima daripada rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” kata baginda ketika bertitah sempena istiadat pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-14 hari ini.

Baginda juga menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya tidak meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan bagi mencapai agenda tertentu dan kembali fokus kepada usaha memerangi wabak Covid-19 serta mengembalikan sinar buat rakyat dan negara.

“Nasihat beta pada semua ahli-ahli berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru ingin beta seru ahli-ahli berhormat untuk kembalikan fokus usaha memerangi wabak Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara,” kata baginda.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah juga bertitah agar semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa-apa masalah yang berlaku dalam negara.

Baginda juga menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara selain menghargai usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dalam sistem pentadbiran negara.

Baginda berkata, kematangan politik seperti itu sangat diharapkan rakyat.

Terdahulu, Sultan Abdullah mengajak ahli Dewan Rakyat bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal sebagai penghargaan atas kerja keras mereka memerangi pandemik Covid-19.

Baginda juga mengajak semua ahli Dewan Rakyat memberikan tepukan gemuruh untuk atlet Paralimpik dan Olimpik di Tokyo yang mencipta kejayaan dalam kedua-dua acara sukan antarabangsa itu.

“Saya menjemput semua berdiri dan berikan tepukan gemuruh kepada mereka,” titah baginda yang turut bangun memberikan tepukan.

Sumber | FMT

COMMENTS