PANAS | ADUN Meru dakwa surau, masjid jadi gelanggang politik burukkan PH

PANAS | ADUN Meru dakwa surau, masjid jadi gelanggang politik burukkan PH

Seorang wakil rakyat PKR mendakwa surau dan masjid di Selangor disalahgunakan sebagai gelanggang berpolitik untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mendakwa sebuah parti pembangkang di negeri itu menggunakan pengaruhnya untuk mengawal urus tadbir Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengatur penceramah dan tenaga pengajar yang condong menyokong parti itu, walaupun tauliah mereka diragui.

“Masjid dan surau sekarang dah jadi markas PAS, ini satu perkara yang JAIS kena selidik. Penceramah ini dijemput oleh Biro Dakwah JAIS, dia bukan kira orang itu ada tauliah (berceramah) atau tidak,” katanya dalam sidang DUN Selangor.

Fakhrulrazi berkata, terdapat juga aktiviti mengutip derma ketika sesi ceramah.

“Mana dapat kebenaran kutip derma, duit itu ke mana? Kutip derma ni faham-fahamlah, adakah masuk tabung parti atau poket sendiri? Walaupun katanya untuk tahfiz, bila kita selidik, tahfiz tiada, tapak pun tiada.

“Ini perkara yang kita kena lihat, bila berceramah mereka hentam kerajaan PH dan ajar perkara tidak betul, jadikan hadis palsu dan lemah untuk dipegang masyarakat.”

Justeru, beliau mendesak agensi agama Islam itu menyiasat pegawai yang dikatakan menjadi proksi kepada ahli parti politik terbabit untuk mengatur tenaga pengajar di masjid dan surau di Selangor.

“Kita juga mahu JAIS jelaskan adakah sudah buat tangkapan atau kenakan tindakan terhadap mereka yang tiada tauliah ini,” katanya yang turut mendakwa wakil rakyat kerajaan negeri yang mempunyai tauliah, termasuk dirinya tidak dibenarkan berceramah, sebaliknya mereka dengan tauliah diragui dibenarkan mengajar dan berceramah.

Sumber | FMT