Panas! Abu Zahar dilihat cuba lindungi Azam Baki – Mahfuz

Panas! Abu Zahar dilihat cuba lindungi Azam Baki – Mahfuz

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menuntut Tan Sri Abu Zahar Ujang melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) ekoran isu dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, kenyataan Abu Zahar yang kemudiannya ditegaskan hanya pendapat peribadi oleh enam ahli LPPR menunjukkan salah guna kuasa telah dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen BN Kuala Pilah itu.

“Kenyataan Abu Zahar sangat merosakkan kedudukan SPRM itu sendiri. Hal ini bertambah parah dengan aduan terhadap Tan Sri Azam Baki.

“Dilihat Abu Zahar cuba untuk melindungi dan menutup kes aduan yang didakwa terhadap Azam Baki.

“Saya menuntut Abu Zahar melepaskan jawatan. Dia seharusnya berbuat demikian kerana pendiriannnya bercanggah dengan kenyataan enam anggota LPPR yang dipengerusikan Abu Zahar sendiri,” katanya dalam temubual khas Malaysia Dateline hari ini.

Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan bertegas menyiasat dan menggantung tugas Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Hal ini perlu ditangani secara serius melalui siasatan bebas yang benar-benar bebas daripada pengaruh Azam Baki.

“Oleh sebab itu, Azam patut digantung tugas bukannya digantung kerana kalau dia bercuti dia masih lagi mempunyai kuasa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Sebaliknya apabila digantung, akan memberi ruang lebih luas untuk siasatan dilakukan,” tambahnya lagi.

Sumber | MD