PANAS | 3 pegawai kanan SPRM didakwa tukar bahan bukti siasatan bernilai RM25 juta kepada wang palsu

PANAS | 3 pegawai kanan SPRM didakwa tukar bahan bukti siasatan bernilai RM25 juta kepada wang palsu

Pelbagai pihak telah bersuara dan memberi reaksi berhubung kes tiga pegawai kanan SPRM didakwa mencuri wang tunai berjumlah AS$6 juta atau kira-kira RM25 juta yang merupakan bahan bukti siasatan dan menggantikannya dengan wang palsu.

Wang tersebut adalah sebahagian daripada rampasan yang dibuat susulan penahanan Hasanah Ab Hamid, bekas Ketua Pengarah Agensi Perisikan Luar Malaysia atau MEIO sebaik tumbangnya BN pada 2018 lalu.

Mahkamah Tinggi pada 12 April lalu telah melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk tidak meneruskan kes berkenaan.

“Dalam keadaan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan mengemukakan alasan yang wajar dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh.

“Oleh yang demikian, mahkamah dengan ini memberi perintah agar tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” kata hakim itu lagi.

Dilaporkan kecurian bahan bukti itu disedari sebaik Hasanah dibebaskan di mana wang asli ditemui bercampur-campur dengan wang palsu.

Kes ini sebenarnya amat mencemarkan nama SPRM sebagai agensi penguatkuasa yang diharapkan rakyat untuk membersihkan negara ini daripada segala kekotoran berkaitan rasuah.

Sudahlah banyak tangkapan dan penahanan SPRM sebelum ini menimbulkan pertikaian, termasuk dikaitkan bermotif politik, mencuri bahan bukti ini menampakkan parahnya kerosakan yang berlaku.

Dengan bahan bukti yang dalam kawalan SPRM sendiri boleh hilang dicuri oleh mereka yang diberi amanah menjaganya, hancurlah harapan rakyat terhadap agensi tersebut.

Sebab itu, sementara Majlis Presiden PH menggesa agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki direhatkan buat sementara, langkah yang paling wajar sekali ialah beliau sepatutnya diberhentikan serta-merta.

Azam harus bertanggungjawab dan diletakkan beban kesalahan atas kes ini, tambahan lagi SPRM juga didapati bertindak menahan reman tiga pegawai kanan terbabit secara senyap-senyap dan berita mengenainya hanya diketahui selepas tahanan reman itu berakhir.

Kes mencuri bahan bukti itu sepatutnya diserahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan, bukan SPRM sendiri menyiasat pegawainya yang mencuri itu.

Faktanya SPRM tiada kuasa dalam sebarang kes kecurian, waima kehilangan telur ayam sekali pun, jadi sandiwara apakah tiba-tiba SPRM menyiasat SPRM itu?

Diberitakan kemudiannya, hanya setelah itu barulah tiga pegawai SPRM itu ditahan polis dan hasil siasatan pula mendapati ada dia antaranya terlibat dengan dadah dan senjata api.

Nampaknya siasatan polis mendapati kes ini bertambah buruk serta lebih mencemarkan nama SPRM.

Mencuri bahan bukti iaitu wang tunai, mengganti dengan wang palsu yang bermakna sudah tentu mereka ada hubungan dengan pengedar wang palsu, terlibat dadah, senjata api dan selepas ini entah apa-apa lagi.

Inikah wajah SPRM yang diharapkan untuk membanteras rasuah di negara ini?

Sementara KP SPRM sepatutnya diberhentikan, malah tidak berani mengeluarkan sepatah kata pun mengulas mengenai isu ini, lebih buruk lagi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sendiri tidak mengulas apa-apa sehingga kini.

Kenapa Perdana Menteri masih tidak bersuara, walhal sebagai ketua kerajaan dan SPRM itu pula dalam kawalannya, beliau seharusnya tidak berlengah lagi memberi reaksi sebagai gambaran sikap prihatinnya terhadap isu yang memalukan negara ini?

Setelah berakhir era Mahiaddin Md Yasin yang lebih banyak membisu dalam pelbagai isu sebelum ini, kecuali hanya berani muncul melalui perutusan khasnya saja, apakah kita terus bernasib malang mempunyai Perdana Menteri yang lebih kurang saja perangai dan sikapnya?

Atau kita sebenarnya sedang memiliki Perdana Menteri yang tidak cukup cergas, lalu lemah dan tidak bermaya menangani isu-isu kritikal yang berlaku dalam negara?

Berita penuh | SDC

COMMENTS