Operasi di pedalaman hutan Gerik ragut dua nyawa

Operasi di pedalaman hutan Gerik ragut dua nyawa

DUA anggota tentera dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sg Ara Pulau Pinang meninggal dunia selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi di kawasan pedalaman hutan Belum, Gerik, Perak hari ini.

Insiden berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu meragut nyawa Sarjan Mohd Kamal Ramli,41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31,.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan kematian kedua-dua pegawai lain-lain pangkat itu pada pukul 11.50 pagi.

“Kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera dengan menggunakan helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke 2 RAMD Kem Sg Ara untuk dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. PDRM Perak merakamkan takziah kepada kedua-dua ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat (TDM) berkata, kejadian berlaku di pangkalan sementara di kawasan operasi pasukan yang dilanda ribut kencang.

“Pada pukul 2.50 pagi selepas suasana tenang, pemeriksaan keselamatan dilaksanakan dan mendapati kedua-dua anggota meninggal dunia akibat ditimpa pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Sarjan Mohd Kamal iaitu Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan isteri Allahyarham Koperal Muhammad Zaki, Nurummi Amirah Chepa serta seluruh ahli keluarga Allahyarham berdua.

Katanya, TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga.

Jenazah Sarjan Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Koperal Muhammad Zaki akan dikebumikan di Chuping, Perlis.