Nyaris maut, 4 lelaki tersepit kereta dihempap pokok

Nyaris maut, 4 lelaki tersepit kereta dihempap pokok

Empat lelaki nyaris maut selepas kereta dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian tanah runtuh di Tanah Rata Cameron Highlands petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata kejadian berlaku berhampiran Hotel Smoke House di sini kira-kira pukul 4 petang.

“Keempat-empat mangsa tersepit dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) berjaya dikeluarkan yang mana dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dua lagi dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands untuk rawatan lanjut,” katanya menurut laporan Kosmo!

Dalam pada itu Ismail berkata, hujan lebat selama dua jam menyebabkan berlaku sembilan kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi di daerah ini sehingga menyebabkan laluan terputus.

Beliau memberitahu pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian pertama pada pukul 4.16 petang dan sehingga pukul 7 malam, sembilan lokasi dikenal pasti berlaku tanah runtuh.

“Sembilan lokasi terbabit adalah tiga di Brinchang, Tanah Rata (tiga lokasi) dan Ringlet (tiga lokasi), hampir semua kejadian tanah runtuh terbabit menghalang laluan tanpa melibatkan kemalangan jiwa,” ujarnya.

Sementara Utusan Malaysia melaporkan, di Tapah, hujan lebat berterusan mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Batu 25 dan Batu 26, Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail dipetik berkata, kejadian itu menyebabkan laluan kedua-dua hala terpaksa ditutup kepada kenderaan, tetapi kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta.

Azharuddin berkata, Unit Kereta Peronda (MPV) telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi membuat pemantauan namun sehingga kini maklumat lanjut belum diperolehi ekoran kesukaran alat perhubungan.

Katanya, maklumat kejadian itu juga telah dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Belati Wangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan runtuhan,” katanya.

Sumber | FMT

COMMENTS