Notis bangkrap dari LHDN lebih kepada mengaibkan saya, kata Najib

Notis bangkrap dari LHDN lebih kepada mengaibkan saya, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak mengaku telah diserahkan notis bangkrap oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kediaman beliau petang semalam yang bertujuan untuk memalukan beliau.

Dalam kenyataannya di facebook Najib berkata, “notis muflis berkaitan dengan ringkasan penghakiman cukai pendapatan saya dari 2011 hingga 2017!”

“Mungkin tindakan memberi saya notis muflis pada hari pertama rayuan kes saya didengari adalah bertujuan untuk menabur garam ke luka ketidakadilan yang masih berdarah atau untuk terus memalukan saya,” kata Najib.

Najib memberitahu, kes cukai ini dikenakan terhadap beliau oleh kerajaan Pakatan Harapan dan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

“Ia berkaitan sejumlah RM3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun yang menggunakan nama saya di mana akaun itu diwujudkan bagi menerima sumbangan derma (sebagaimana didedahkan di mahkamah), dan RM642 juta dipindahkan secara terus dari Kementerian Kewangan Arab Saudi (dan ini juga dibuktikan di mahkamah). Jumlah RM2.6 bilion yang sangat popular (sebenarnya RM2 bilion) sudah DIPULANGKAN empat bulan kemudian.

“Ini sebenarnya dibuktikan sekali lagi beberapa hari lalu dalam mahkamah apabila pendakwaan kata:

“Faten Hadni berkata, analisis dan jejakan kewangan menggunakan kaedah FIFO ke atas penyata akaun bernombor 9694 milik Najib mendapati sebanyak RM2,034,350,000 telah dipulangkan semula ke akaun Tanore.”

Najib berkata, biarpun sebagai Perdana Menteri, beliau sentiasa membayar cukai pendapatan tanpa gagal.

“Tetapi cukai zalim berjumlah RM1.74 bilion (naik lagi dengan penalti RM46 juta sejak tahun lepas) ini adalah pentaksiran tambahan dan penalti yang tidak munasabah,” katanya.

Sebelum ini, katanya, LHDN pernah keluarkan kenyataan di mana derma politik tidak dikenakan cukai.

Selain itu, katanya, semua wang yang diterima dalam akaun khas sudah digunakan bagi tujuan CSR serta politik dan bukan untuk tujuan peribadi beliau “termasuk sumbangan kepada masjid di Malaysia dan bantuan banjir selama 4 tahun termasuk banjir besar pada 2014.”

“Bayangkan saya dikenakan penalti cukai RM1.7 bilion sebab gunakan wang dari Arab Saudi untuk membantu mangsa banjir dan masjid-masjid seluruh negara selama 4 tahun!

“Kita perhatikan wang digunakan ini semua adalah untuk rakyat, tempat beribadah dan membantu mereka yang memerlukan tanpa perlu terhutang budi pada mana mana syarikat kroni,” dakwa Najib.

Katanya, kesemua akauntan percukaian dan peguam percukaian termasuk yang berpengalaman di negara ini bersetuju bahawa kerajaan tiada merit untuk mengenakan penalti seperti itu dan tindakan itu sebagai tidak munasabah.

“Dari zaman PH sehingga zaman PN kini, tiada seorang pun yang berani menjawab kenapa wang yang dipulangkan kepada penghantar selepas 4 bulan dikira sebagai pendapatan peribadi dan dicukai serta dikenakan penalti 40% +10% +5%.

“Bagaimanapun, undang-undang percukaian di negara ini terdedah kepada penyalahgunaan di mana prinsipnya adalah seseorang itu perlu melangsaikan penalti dahulu sebelum merayu dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan.

“Dan jika anda tak boleh menjelaskannya, LHDN boleh isytihar anda muflis,” kata Najib dalam postingnya selepas terdedah berita beliau dikenakan notis bangkrap itu.

Menurut ahli parlimen Pekan itu, pada November tahun lalu, menteri kewangan ketika itu diberi taklimat tentang kes cukai ini.

“Beliau datang berbincang dengan saya untuk bertanya mengapa saya berkeras mahukan pengeluaran KWSP,” kata Najib.

Selepas beliau dapat tahu tentang derma negara asing dan dana dipulangkan empat bulan kemudian dikenakan cukai, Menteri Kewangan itu pergi ke LHDN dan meminta agensi itu berbincang dengan beliau untuk jalan penyelesaian, kata Najib.

“Bagaimanapun, minggu lepas beliau diberitahu oleh bosnya, untuk tidak lagi terlibat dengan isu cukai ini dan serahkan kepada bosnya.

“Tiba tiba, rundingan dihentikan dan notis bankrap ini diserahkan kepada saya,” kata Najib. | MD

COMMENTS