Ngeri !!! Wanita maut diseret treler sejauh 10 meter selepas hantar anak sekolah

Ngeri !!! Wanita maut diseret treler sejauh 10 meter selepas hantar anak sekolah

Rutin seorang ibu menghantar anak ke sekolah berakhir hari ini apabila dia terbunuh dalam nahas membabitkan sebuah treler di Kilometer 57, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.15 pagi di atas jambatan Sungai Batang Padang itu, mangsa, Shahriza Ishak, 39, parah di kepala ekoran diseret treler sejauh 10 meter.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, nahas berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumah untuk mengambil anaknya untuk dihantar ke sekolah.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang wanita itu bergesel dengan treler menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan raya.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa diseret treler berkenaan hingga menyebabkan kecederaan parah di kepala. Mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari sekolah balik ke rumah untuk mengambil seorang lagi anaknya untuk dihantar ke sekolah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu treler berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan lelaki itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, berdasarkan ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Kenderaan terlibat kemalangan telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.