Ngeri! Motosikal bergesel, wanita maut digilis lori PBT

Ngeri! Motosikal bergesel, wanita maut digilis lori PBT

Seorang wanita dalam perjalanan ke tempat kerja maut digilis lori milik pihak berkuasa tempatan (PBT), susulan terjatuh akibat bergesel dengan kenderaan berat itu, dalam kejadian di Tumpat, Kelantan.

Dalam kejadian di Kampung Kubang Labu dekat Tumpat, jam 8.40 pagi tadi, mangsa, Nurulsyahirah M Roni, 25, meninggal dunia di lokasi nahas kerana kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tumpat Mohd Azmir Damiri, berkata mangsa menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan ke tempat kerja, di Kota Bharu.

“Pada masa sama, sebuah lori PBT yang menghala ke bulatan Pasir Pekan untuk kerja menyiram pokok turut menggunakan laluan sama. Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel bahagian belakang sebelah kiri lori dan terjatuh sebelum digilis tayar belakang kenderaan itu.

“Mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Azmir berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, waris mangsa, Mohd Haridan Ab Ghani, 52, ketika ditemui, berkata dia kebetulan melalui jalan itu, pagi tadi, sebelum ternampak kemalangan jalan raya itu tanpa mengetahui mangsa adalah sanak saudaranya.

“Sebaik ternampak kad pengenalan yang dipegang polis dan membacakan alamat yang tertera, saya meminta izin melihat maklumat dengan teliti sebelum mengesahkan mangsa adalah waris saya.

“Bagaimanapun mangsa sudah meninggal dunia dan dengan segera saya menghubungi ahli keluarganya memaklumkan khabar sedih itu,” katanya.