Ngah Jabor, Dato Panglima Kinta ke 7 dalam perang Perak 1875

Ngah Jabor, Dato Panglima Kinta ke 7 dalam perang Perak 1875

Pada 20 Julai 1875, Residen British Perak yang Pertama, James Wheeler Woodford (J.W.W.) Birch telah memaksa Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26) menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak akan lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan Perak. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut.

Akhirnya J.W.W. Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambil alihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak. Inilah yang mencetuskan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 yang mendapat sokongan pembesar-pembesar Melayu Perak termasuk Menteri Ngah Ibrahim, Dato Panglima Kinta ke 7 Toh Ngah Abdul Jaafar (Ngah Jabor atau Toh Gemok), Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor.

Akibat pembunuhan ini, British menyerang Perak dan tercetusnya Perang Perak bermula 2 November 1875. British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan orang-orang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875. Dalam pertempuran itu, tentera-tentera British yang ketika itu berbangsa punjab telah membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak.

Oleh kerana Sultan Ismail (Sultan Perak ke 25) memberi perlindungan kepada Dato Maharaja Lela ke 6 Pandak Lam yang merupakan pembesar Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri ke Kampung Kepayang (Fair Park, Ipoh) bersama Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin dan pengikut-pengikutnya.

Menurut pandangan Burns P.L. dalam Perak Enquiry Papers, menyatakan bahawa Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Dato Sagor Ngah Kamdin dan Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah penyokong kuat kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak manakala Laksamana Mohamad Amin bermusuh dengan Sultan Ismail walaubagaimanapun Laksamana Mohamad Amin masih menyatakan sokongan kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak.

Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk-penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Kampung Kepayang ketika itu dibawah naungan Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan diketuai oleh kekandanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya.

Menurut C.N. Parkinson, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor adalah merupakan kekanda kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam. Mereka berkongsi ibu yang sama iaitu Anjang Nih walaubagaimanapun berbeza ayah. Ayah kepada Dato Panglima Kinta Ngah Jabor adalah Dato Panglima Kinta ke 5, Toh Ngah Abdul Ghaffar (Ngah Gapor) manakala ayah kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah Dato Maharaja Lela ke 5 Tok Maulud.

Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera-tentera British dan orang-orang Mendailing. Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak satu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut-pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell.

Pada 3 Mac 1875 hingga 4 Mac 1875, Seputum, Cik Gondah dan Ngah Ahmad telah dibicarakan bertempat di Bandar Bharu. Seputum menyatakan bahawa Cik Gondah memukul J.W.W. Birch dengan pedang tetapi Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang memulakan pembunuhan dengan meradak lembing ke tubuh J.W.W. Birch. Menurut Cik Gondah, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor yang bertanggungjawab mendapatkan bantuan dan ubat bedil daripada Sultan Ismail. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) diapit oleh J.G. Davidson dan Frank Swettenham.

Pada 14 Disember 1876 hingga 22 Disember 1876, Dato Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Pandak Indut, Kulup Ali dan Si Tuah dibicarakan. Kesemuanya dihukum gantung sampai mati kecuali Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Kulup Ali dan Si Tuah dimana mereka telah dihukum penjara di Singapura. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Mohamad Amin dan Shahbandar Uda Maamor dibuang ke Pulau Sychelles manakala Sultan Ismail, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor.

Dato Panglima Kinta Ngah Jabor telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah sepuluh tahun dipenjara di Singapura (1877 hingga 1887). Beliau kembali ke Kampung Kepayang dan menukarkan nama kepada Toh Gemuk bagi mengelakkan dikesan oleh British. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan bersebelahan Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang, dimana ia terletak ditengah-tengah antara Makam (moyangnya) Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang dan Makam (datuknya) Dato Panglima ke 3, Toh Changkat Rembiah bin Dato Panglima Kinta Pertama Toh Tambak.

Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan Laksamana Mohamad Amin adalah berbesan, dimana anak lelaki beliau iaitu Kanda Jahid telah berkahwin dengan anak perempuan kepada Laksamana Mohamad Amin yang bernama Ngah Teresah. Menurut dokumen Pejabat Tanah Kinta di Arkib Negara Malaysia, sebahagian daripada tanah wakaf di Kampung Kepayang termasuk Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang adalah atas nama Ngah Teresah binti Laksamana Mohamad Amin dan Puteh Manjura binti Laksamana Mohamad Amin.

Kesan penglibatan Dato Pangima Kinta Ngah Jabor dalam pembunuhan J.W.W. Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan Panglima Kinta Pasak Kepayang disenaraihitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Dato Panglima Kinta, dimana secara lazimnya jawatan Dato Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang.

Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Dato Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan Dato Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Kampung Kepayang) dimansuhkan dalam struktur monarki Kesultanan Negeri Perak.

Penglibatan kedua-dua pembesar utama yang berasal daripada Kampung Kepayang iaitu Orang Besar Lapan, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan kekandanya Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dalam pembunuhan J.W.W. Birch memberikan kesan yang amat besar terhadap Kampung Kepayang.

British ketika itu memerintah Negeri Perak seolah-olah cuba melenyapkan Kampung Kepayang daripada Sejarah Daerah Kinta sebagai tindak balas terhadap peristiwa pembunuhan tersebut. Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta yang dibuka pada tahun 1528 oleh Tun Kelalang bin Tun Saban Balik, kini hanya menjadi sebuah perkampungan kecil yang terpinggir dan disisihkan daripada arus pembangunan Daerah Kinta.

Berita penuh : https://www.orangperak.com/ngah-jabor-dato-panglima-kinta-ke-7-dalam-perang-perak-1875.html