Musim tengkujuh bukan masa berpesta

Musim tengkujuh bukan masa berpesta

Kuala Nerus: Musim tengkujuh bukan masa yang sesuai untuk berpesta terutama di lokasi berisiko termasuk kawasan pantai.

Keadaan ombak yang tinggi, fenomena air pasang besar selain cuaca tidak menentu sememangnya tidak sesuai buat pengunjung melakukan aktiviti di air.

Bagaimanapun, ada segelintir masyarakat seolah-olah tidak mengendalikan arahan pihak berkuasa apabila masih mengunjungi lokasi berkenaan.

Melihat kepada situasi itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid mengingatkan masyakarakat supaya lebih peka dan berwaspada dengan keadaan semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk kehilangan nyawa.

“Saya berharap orang ramai mengambil perhatian supaya kejadian lemas tidak berlaku kerana kita tidak tahu keadaan sebenar sesuatu lokasi banjir itu sekiranya kawasan itu dinaiki air.

“Berdasarkan pemantauan, saya melihat masyarakat terutama kanak-kanak dilihat bermain air berhampiran tali air manakala remaja pula meredah banjir tanpa memikirkan keselamatan diri.

“Memang seronok bermain air tetapi kita tidak tahu apa yang ada, jadi adalah lebih baik kita elak sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Jangan jadi sebahagian daripada statistik mangsa korban banjir sepanjang Monsun Timur Laut di negeri ini,” katanya ketika membuat di Kampung Gong Baru di sini.

Md Hilman berkata, kawasan rekreasi termasuk air terjun, sungai, tasik dan pantai tidak selamat dikunjungi sama ada untuk riadah atau mandi sepanjang musim tengkujuh.

Katanya, lokasi berkenaan juga berisiko untuk berlaku kejadian seperti arus deras, paras air naik secara tiba-tiba kerana kepala air dan banjir.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650062/musim-tengkujuh-bukan-masa-berpesta