Mulakan rancangan buka sempadan atau Malaysia akan keciciran

Mulakan rancangan buka sempadan atau Malaysia akan keciciran

Pemegang taruh memberi amaran industri pelancongan akan jauh tercicir sekiranya kerajaan tidak mengemukakan rancangan yang mantap untuk membolehkan pengembara yang sudah divaksin memasuki negara.

Peringatan itu meyusuli cadangan ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, agar kerajaan membuka sempadan kepada pelancong dan ahli perniagaan yang sudah divaksin, sekaligus negara Asia pertama yang berbuat demikian.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, N Subramaniam, dan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Perjalanan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang, menyokong cadangan itu namun kerajaan mesti mengaturnya secepat mungkin.

Subramaniam berkata negara memerlukan satu rangka tindakan yang memperincikan pembukaan semula sempadan secara berperingkat, jangka masa kuarantin dan pengesahan kesihatan, serta sistem “pas khas” untuk pengembara.

Beliau berkata barisan depan industri mesti diberi akses kepada vaksin sebelum mereka menerima pelancong asing.

“Rancangan awal harus dimulakan untuk memastikan Malaysia dapat mengambil kesempatan daripada pemulihan pelancongan,” katanya kepada FMT.

“Keadaan itu bagaimana antara hidup dan mati. Sekiranya kita tiada rancangan, kita akan keciciran dan akan lambat pulih.”

Walaupun belum ada negara yang melaksanakan “pasport imuniti”, Subramaniam berkata kerajaan lain sudah melaksanakan gelembung perjalanan dan koridor berkaitan bagi orang yang disahkan negatif atau sudah divaksin.

Tan berkata Thailand dan Singapura sudah mempunyai strategi untuk menerima pelancong, tetapi Malaysia masih tertumpu pada menutup sempadan dan sekatan perjalanan domestik.

Beliau berkata kerajaan perlu merumuskan strategi untuk mengurangkan risiko jangkitan, dan aturan yang membolehkan perjalanan yang bersih dan selamat.

Malaysia, katanya, boleh menggunapakai protokol kesihatan dan keselamatan yang disediakan badan dunia, seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Pertubuhan Pelancongan Dunia.

“Kita perlu maju. Pengaturan timbal balik yang konsisten, selaras dan sejajar akan memudahkan pembukaan sempadan, ”katanya.

Sementara itu, Business Survival Group, yang mewakili sekitar 950,000 syarikat, mahu kerajaan menarik balik larangan ke atas perjalanan rentas negeri dan perniagaan dalam “senarai negatif”, menjelang 18 Mac atau lebih cepat jika keadaan Covid-19 bertambah baik.

Perniagaan dalam senarai negatif termasuk taman tema tertutup, pusat hiburan keluarga, dan acara langsung.

“Ini akan mengembalikan keyakinan pengguna dan mendorong kitaran permintaan domestik yang akan memacu pertumbuhan ekonomi,” tambah kumpulan itu dalam kenyataan. | FMT