Muhyiddin hidup dalam penipuan, konon ada majoriti

Muhyiddin hidup dalam penipuan, konon ada majoriti

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berbohong kononnya masih ada sokongan majoriti.

Sambil menyifatkan dakwaan Perdana Menteri itu sebagai pelik, beliau dalam nada sinis berkata, dari segi kiraan yang mudah pun jelas kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang.

“Kali ini sekali lagi semalam semua orang sudah pun boleh nampak dengan begitu jelas dia (Muhyiddin) berbohong kepada rakyat dengan mendakwa masih ada lagi majoriti,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat mingguan Majlis Eksekutif Pejuang yang dihadiri barisan kepimpinan parti tersebut dan diadakan secara maya hari ini.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menerusi perutusan khas mendakwa masih kekal jawatannya biarpun UMNO mengumumkan penarikan sokongan kepada kerajaan PN dipimpin Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, pembohongan Pengerusi PN itu bukan perkara baharu malah pernah dilakukannya tahun lepas sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Saya ingat lagi, nama saya dan lima ahli Parlimen Bersatu dalam senarai konon sokong dia padahal kami tidak sokong pun dan dia berbohong kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

Justeru, beliau mendesak Muhyiddin agar bersikap jujur dengan berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada individu lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sementara.

Ini jelasnya, boleh dilaksanakan dengan segera mengadakan sesi khas sidang Dewan Rakyat bagi membahaskan usul kepercayaan dan bukannya ditunda sehingga bulan depan.

Apatah lagi katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengakui secara terbuka bahawa sebenarnya 12 wakil parti itu mengisytiharkan penarikan sokongan.

“Sebelum ini, Muhyiddin cuma ada majoriti sipi lebih dua kerusi, tapi kini kurang 12 lagi sudah tarik sokongan, bukan lapan sahaja wakil UMNO seperti yang dia cakap semalam,” tegasnya.

Dr. Mahathir dalam nada sindiran berkata, Pengerusi PN itu memang tahu sudah ‘tumbang’ tetapi berdalih kata sebaliknya dan lebih pelik usul keabsahan dirinya diadakan pada September, dan keadaan janggal itu seperti cuba ‘membeli masa’ untuk mencari sokongan wakil Pakatan Harapan (PH) yang mungkin boleh menyokong undi percaya terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau berharap Seri Paduka boleh mengambil contoh perkara sama berlaku di negara Komanwel lain yang pernah terjadi krisis politik seperti Malaysia ketika ini.

“Antaranya Australia, apabila Gabenor Jeneral melucutkan Perdana Menteri dan segera melantik individu lain bagi bentuk kerajaan sementara,” jelasnya.

Senario itu katanya, sesuai dengan mengambil kira suasana Covid-19 pada masa ini yang tidak wajar Parlimen dibubarkan untuk diadakan proses Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Katanya, soal siapakah akan jadi Perdana Menteri interim itu bukan isu besar kerana ia hanya sementara waktu dan masih boleh terima berbanding status kerajaan PN yang memang tiada majoriti.

Bahkan beliau sedia menerima pemimpin UMNO yang dirasakan Yang di-Pertuan Agong sesuai mengisi sementara jawatan itu disebabkan PRU tidak dapat diadakan kerana isu Covid-19.

Sumber | UM