MOF takkan beri Datasonic kontrak jika Zahid tak setuju – Saksi

MOF takkan beri Datasonic kontrak jika Zahid tak setuju – Saksi

Penganugerahan kontrak pembekalan cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan telah melalui prosedur yang betul, akui pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Hizar Farhan Abdul Razi.

Namun, pada masa yang sama, katanya, tanpa persetujuan timbalan perdana menteri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, Kementerian Kewangan tidak akan bersetuju menganugerahkan kontrak itu kepada DTSB.

Dia berkata demikian selaku saksi ke-91 perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dia bersetuju dengan cadangan peguam bela Ahmad Zaidi Zainal bahawa Kementerian Kewangan telah mengikuti SOP dalam penganugerahan kontrak tersebut kepada DTSB, semasa pemeriksaan balas.

Namun, dalam pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun pula, dia memberikan bayangan bahawa persetujuan Ahmad Zahid yang juga selaku menteri dalam negeri ketika itu memainkan peranan dalam penganugerahan kontrak berkenaan.

Gan: Sekiranya OKT (Ahmad Zahid) tidak bersetuju supaya kontrak diberikan kepada Datasonic, adakah Kementerian Kewangan akan bersetuju kontrak diberikan kepada Datasonic?

Hizar: Tidak.

Ketika disoal balas sekali lagi oleh Ahmad Zaidi, kata Hizar, jawapannya itu disandarkan pada hakikat bahawa Ahmad Zahid memegang jawatan selaku menteri dalam negeri pada ketika itu.

Ahmad Zahid dituduh menerima rasuah sebanyak RM6 juta dalam dua keping cek daripada Chew Ben Ben, timbalan pengarah urusan Datasonic Group Berhad (DGB) – syarikat induk DTSB – sebagai upah melantik DTSB melaksanakan projek cip pasport itu secara rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hizar merupakan pegawai penyiasat untuk pertuduhan rasuah tersebut, iaitu pertuduhan ke-14 dan ke-15 yang dihadapi Ahmad Zahid.

Termasuk Hizar, tiga orang pegawai penyiasat kes Ahmad Hadir memberikan keterangan, iaitu Fairul Rafiq Hamirudin (saksi ke-89) dan Mohd Zamri Abdul Rashid (saksi ke-92).

DTSB dianugerahkan kontrak pembekalan cip pasport pada 2015 untuk tempoh selama 5 tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport malaysia antarabangsa daripada KDN.

Sebelum diserahkan kepada DTSB, kontrak pasport dibahagikan kepada tiga syarikat, iaitu Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) (membekalkan buku pasport), Iris Corporation (membekalkan cip) dan DTSB (membekalkan polikarbonat).

Bagaimanapun, urusan pembekalan pasport itu kemudiannya diserahkan kepada DTSB, meliputi proses dari awal hingga akhir.

Dalam pernyataan saksinya tadi, Hizar berkata, bekas setiausaha bahagian (SUB) perolehan KDN, Abd Aziz Md Nor memberikan keutamaan kepada permohonan pembekalan cip pasport oleh DTSB, hanya selepas menerima surat daripada pejabat Menteri Dalam Negeri pada September 2014.

Aziz juga, katanya, mengarahkan penolong ketua setiausaha perolehan KDN menyegerakan keputusan rundingan harga agar proses pengeluaran surat setuju terima dapat disegerakan, setelah mendapat surat daripada pejabat timbalan perdana menteri pada Oktober 2015.

Februari tahun lepas, Abd Aziz hadir sebagai saksi ke-33 memberikan keterangannya.

Ahmad Zaidi turut memetik Chew yang memberi keterangan sebagai saksi ke-34 tahun lepas, yang menafikan pemberian wang kepada Ahmad Zahid itu sebagai satu rasuah, dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Justeru, berdasarkan kenyataan Chew itu, Ahmad Zaidi mencadangkan kepada Hizar bahawa pertuduhan ke-14 dan ke-15 yang dihadapkan kepada Ahmad Zahid sebagai tidak benar.

“Saya tidak setuju,” jawab Hizar.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan yang masuk hari ke-46 itu dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, akan bersambung esok. | MK