Misteri !!! Mayat berbungkus di tepi jalan di sisi bangkai ayam ditemui

Misteri !!! Mayat berbungkus di tepi jalan di sisi bangkai ayam ditemui

Mayat lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan berbalut kain putih seakan-akan dikafan selain dilapisi kanvas plastik di tepi jalan di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, mayat turut dibalut selimut bercorak kartun itu ditemui orang awam di jalan menghala ke Kuala Kangsar pada 10.15 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

Anuar berkata, pemeriksaan dilakukan Pakar Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati mangsa dipercayai berusia 40-an dan warganegara Malaysia berdasarkan parut suntikan pada bahu sebelah kiri.

Beliau berkata, bangkai seekor ayam turut ditemui berhampiran mayat itu selain mangsa dipercayai mati di tempat lain, namun dibawa ke tempat berkenaan iaitu lokasi yang jauh daripada kawasan kejiranan dan laluan utama antara Kuala Kangsar dan Gerik.

“Mangsa memakai kemeja dan seluar pendek (sebelum dibalut) dengan dia dipercayai mati dalam tempoh antara 24 hingga 36 jam sebelum ditemui.

“Semakan terhadap laporan Orang Hilang akan dilakukan dengan segera bagi mengenal pasti identiti mangsa.

“Tiada kesan kecederaan pada bahagian luar badan mangsa melainkan satu kesan luka pada bahagian kepala sebelah kanan mangsa, namun punca luka berkenaan masih tidak dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Beliau berkata, setakat ini kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga punca kematian dikenal pasti melalui hasil bedah siasat bermula 9 pagi esok.

Menurutnya, siasatan lanjut terhadap kes itu akan diteruskan berdasarkan beberapa bukti diperolehi di tempat kejadian. | HM