‘Minat’ gadis sama, pelajar retak kepala dibalun senior

‘Minat’ gadis sama, pelajar retak kepala dibalun senior

‘Minat’ gadis sama, pelajar retak kepala dibalun senior. Gara-gara meminati pelajar perempuan sama di sebuah sekolah menengah di Gua Musang, Kelantan, seorang pelajar lelaki dipukul oleh pelajar senior sehingga retak tempurung kepala.

‘Minat’ gadis sama, pelajar retak kepala dibalun senior

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian 11.15 pagi Selasa lalu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan 4 sekolah itu berada di luar kelas.

Katanya, mangsa didatangi lima pelajar Tingkatan 5 yang terus memukul bahagian badannya secara beramai-ramai sebelum seorang suspek memukul kepala mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan bahagian kiri tempurung kepalanya retak.

“Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ.

“Selain cedera di kepala, mangsa turut bengkak di beberapa bahagian anggota badan seperti tangan kanan dan kiri, belakang badan dan lenguh di kaki,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sik berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan susulan.

Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek kerana mereka meminati pelajar perempuan yang sama.

“Semua pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah diambil keterangan oleh polis dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya selain memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.