Merusuh selepas gagal dapat wang perlindungan

Merusuh selepas gagal dapat wang perlindungan

Polis menahan tujuh suspek yang dipercayai terbabit dalam satu kejadian merusuh menggunakan senjata di sebuah restoran di Pandamaran, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 11.50 malam itu, beberapa lelaki datang ke restoran berkenaan untuk meminta wang perlindungan daripada pemilik restoran.

“Pemilik restoran bagaimanapun enggan menyerahkan wang lalu suspek bertindak memanggil beberapa orang lelaki masuk ke restoran itu.

“Suspek bertindak memecahkan barang milik restoran serta menyerang orang awam yang berada di restoran itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu katanya, polis menangkap tujuh lelaki yang berumur antara 22 hingga 57 tahun menerusi beberapa siri serbuan dan tangkapan pada Isnin.

“Kesemua suspek ditahan di sekitar kawasan Pandamaran pada 4 Januari di antara jam 8 malam hingga jam 11 malam.

“Polis masih memburu beberapa suspek yang masih bebas iaitu Tan Chee Siang, 21, Tey Kok Chun, 20, Hew Chee Chong, 34, dan Tan Chee Kin, 22.

“Siasatan mendapati, kesemua suspek dipercayai kumpulan samseng dan tidak menolak kemungkinan ada pembabitan dengan kongsi gelap. Kumpulan ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek yang masih bebas boleh disalurkan terus dengan menghubungi Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/660923/merusuh-selepas-gagal-dapat-wang-perlindungan