Merompak usia 15 tahun

Merompak usia 15 tahun

Pasir Mas: Remaja berusia 15 tahun yang sedang ‘lalok’ dadah merompak sebuah stesen minyak di Kampung Cherang, Meranti, di sini, pada 6.45 pagi Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi, berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik stesen minyak terbabit dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah (BSJND) Pasir Mas terus membuat siasatan.

Katanya, pada 9.50 malam, hari yang sama pihaknya menahan remaja terbabit di rumahnya di Kampung Chat, di sini, selain merampas barangan yang disyaki dicuri selain sebatang besi sepanjang 82 sentimeter dipercayai digunakan ketika merompak.

“Hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek menceroboh masuk ke dalam stesen minyak dengan memecahkan cermin di bahagian hadapan kaunter menggunakan besi yang dibawa dan keluar melalui jalan yang sama.

“Menurut laporan, suspek melarikan pelbagai jenis rokok, wang tunai, duit syiling, kad tambah nilai dan air minuman dianggarkan bernilai RM5,000 selain menyebabkan kerosakan stesen minyak berjumlah RM10,000.

“Selain itu, suspek juga mengaku melakukan jenayah terbabit seorang diri dengan menunggang motosikal yang diletakkan berdekatan tandas sebelum merompak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Roy berkata, hasil soal siasat remaja terbabit mengakui bahawa rokok dan kad tambah nilai dijual kepada rakannya dengan harga murah, manakala wang yang dicuri digunakan untuk membeli dadah.

“Kes ini disiasat di bawah kesalahan 457 Kanun Keseksaan dan remaja terbabit ditahan reman selama enam hari bermula semalam sehingga 9 November.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama lima tahun dan didenda atau dipenjara selama 14 tahun bagi mana-mana kesalahan yang dilakukan kali kedua sertaboleh dikenakan denda atau sebat.

“Hasil ujian saringan air kencing remaja tingkatan tiga ini positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Sumber berita : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/638268/usia-15-tahun-dah-merompak