Merayu mohon cuti takut isteri mengamuk

Merayu mohon cuti takut isteri mengamuk

New Delhi: Kerana takutkan isteri, seorang anggota polis di Madhya Pradesh, tengah India, sanggup menulis surat memohon cuti kepada pegawai atasannya bersama rayuan yang dianggap ‘terlalu kreatif’.

Konstabel Dilip Kumar Ahirwar memohon cuti lima hari kerana perlu menghadiri majlis perkahwinan adik iparnya, namun menyertakan rayuan ‘tidak sanggup berdepan amukan isteri’ sekiranya cuti tidak diluluskan.

Surat bertarikh 7 Disember itu dituju kepada Timbalan Ketua Polis Wilayah Bhopal dalam bahasa Hindi, tular di media sosial dan menarik perhatian warga Twitter.

“Isteri pemohon sudah menjelaskan jika dia gagal menghadiri majlis perkahwinan itu, akan ada akibat yang perlu ditanggung,” lapor Gulfnews.

Pengguna Twitter @adeshgoyal26 menciap, “Kasihan lelaki ini menderita di rumah dan di tempat kerja. Inilah kehidupan.”

Difahamkan konstabel itu menerima tindakan tatatertib daripada pegawai atasannya.

“Dia ditukarkan ke jabatan lain kerana tindakannya, yang pertama, memohon cuti dengan cara yang tidak sesuai dan kemudian, membiarkan ia tersebar di media sosial,” kata Ketua Pengarah Polis Bantuan Wilayah Bhopal, Upendra Jain.

Sebelum ini, anggota polis itu bertugas di jabatan trafik.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2020/12/653958/merayu-mohon-cuti-takut-isteri-mengamuk