Menteri UMNO disaran ‘berhenti’ buat kenyataan ‘bodoh’ – Salahuddin

Menteri UMNO disaran ‘berhenti’ buat kenyataan ‘bodoh’ – Salahuddin

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta Menteri, khususnya daripada UMNO supaya tidak mengeluarkan kenyataan ‘bodoh’ tentang kenaikan harga pelbagai barangan asas ketika ini.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin UMNO dilihat tidak lebih daripada sekadar seperti melepaskan batuk di tangga.

Sebaliknya, mereka harus bertindak pantas dengan mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan kemelut kenaikan harga barangan ketika ini.

“Walaupun Pakatan Harapan (PH) hanya memerintah selama 22 bulan, namun kami telah buktikan bahawa harga barang-barang dapat dikawal khususnya dalam tempoh dua minggu sebelum dan dua minggu selepas perayaan umum di negara ini.

“Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Aidiladha, Deepavali, Krismas dan juga perayaan Gawai, semua rakyat dapat kelegaan sepanjang musim perayaan dengan harga barangan yang terkawal.

“Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Aidiladha, Deepavali, Krismas dan juga perayaan Gawai, semua rakyat dapat kelegaan sepanjang musim perayaan dengan harga barangan yang terkawal.

“Perkara ini boleh dicapai menerusi kerjasama antara kementerian-kementerian yang berkaitan dan bukan sebaliknya melalui kerja secara bersendirian,” katanya selepas mengetuai perhimpunan aman bagi membantah kenaikan harga barangan asas di Kampung Pasir, di sini hari ini.

Justeru, Salahuddin mendesak kerajaan sedia ada supaya bertindak segera dan mengawal kenaikan harga barangan supaya tidak berlarutan.

“Jika perkara ini gagal dilaksanakan kerajaan sedia ada, kami tidak akan teragak-agak untuk terus mengadakan perhimpunan aman yang lebih besar di bandar-bandar utama seluruh negara bagi menyampaikan suara dan isi hati rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Salahuddin turut memberitahu, PH dijangka akan membawa usul bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat semasa sesi Parlimen yang bersambung Isnin ini.

“Ada banyak peluang untuk kita serahkan usul berkenaan. Saya yakin ramai Ahli Parlimen akan bawa usul ini demi kepentingan rakyat, kita ada sepanjang tempoh tiga minggu Parlimen bersidang,” katanya.