Menteri Pengangkutan sambut baik SOP ketat Grab

Menteri Pengangkutan sambut baik SOP ketat Grab

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyambut baik prosedur operasi standard (SOP) kesihatan ketat yang diperkenalkan Grab menerusi inisiatif GrabProtect.

Memetik kenyataan Grab, beliau menggalakkan platform lain untuk turut mengikuti langkah yang sama.

“Ini bagi memastikan pengguna, pemandu dan rakan penghantar platform Grab kekal terlindung dan selamat sepanjang perjalanan ketika menggunakan perkhidmatan Grab.

“Kami menyeru pemain industri lain untuk mencontohi mereka dan melaksanakan langkah berjaga-jaga,” kata Wee.

GrabProtect dilancarkan pada Jun lalu bagi memperkenalkan ciri-ciri teknologi keselamatan dan kebersihan baharu serta dasar keselamatan ketat bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Menerusi kerjasama serantau bersama Unilever, Grab mengedarkan kit kebersihan yang mengandungi pensanitasi tangan kepada lebih 120,000 pemandu dan rakan penghantar bagi melindungi kenderaan mereka.

“Melalui GrabProtect, kami menetapkan piawaian lebih tinggi bagi keselamatan dan kebersihan untuk perkhidmatan penghantaran dan e-panggilan (ride-hailing).

“Rutin kebersihan baharu ini dilaksanakan sebelum perjalanan bermula,” kata Ketua Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor.

Antara langkah keselamatan yang diperkenalkan termasuk memberi kelonggaran kepada penumpang dan pemandu untuk membatalkan tempahan dan membuat laporan kepada Grab sekiranya salah satu pihak tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, pembayaran tanpa tunai turut digalakkan supaya dapat mengurangkan pengedaran jangkitan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/menteri-pengangkutan-sambut-baik-sop-ketat-grab-273068