Menteri beri isyarat bercanggah mengenai ordinan berita palsu

Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan kenyataan bercanggah menteri mengenai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk memerangi “berita palsu”.
Lim berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah memberi jaminan kerajaan akan membezakan kritikan dan berita palsu, namun menteri undang-undang Takiyuddin Hassan memberikan mesej sebaliknya.
Takiyuddin pada Jumaat lalu berkata, dakwaan bahawa kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana hilang majoriti di Dewan Rakyat juga boleh dianggap melanggar ordinan darurat berkenaan berita palsu.
“Yang mana ni? Pandangan Saifuddin atau Takiyuddin?” Soal Lim dalam satu kenyataan.
Pendirian rasmi kerajaan adalah bahawa pengisytiharan darurat yang berkuatkuasa 11 Januari lalu bertujuan untuk memerangi Covid-19.
Darurat juga digunakan untuk menggubal undang-undang termasuk ordinan berita palsu tanpa melalui persidangan parlimen.
Semasa darurat, parlimen digantung sehingga Ogos.
Pengkritik berkata takrifan yang tidak jelas tentang “berita palsu” dalam ordinan tersebut, yang memperuntukkan denda hingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, boleh menyebabkan ia disalah guna.
Lim, dalam kenyataannya hari ini berkata Peguam Negara Idrus Harun harus memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
“Jaminan oleh Saifuddin bahawa tujuan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 bukanlah untuk mengekang kebebasan media dan menghalang mana-mana pihak daripada mengkritik kerajaan tidak ada gunanya kecuali jika Peguam Negara membuat pendirian jelas apakah dia akan mendakwa mana-mana individu di bawah Ordinan Darurat berita palsu kerana mendakwa bahawa pengisytiharan darurat dibuat kerana (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin) telah kehilangan majoriti di Parlimen,” katanya. | MK