Memalsukan dokumen, setiausaha sebuah GLC direman 2 hari

Seorang setiausaha sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan kes memalsukan dokumen untuk mendapatkan kelulusan bayaran daripada pihak pengurusannya, akhir tahun lalu.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret, R. Salini, di sini semalam.
Difahamkan, lelaki berkenaan menyediakan minit mesyuarat ahli lembaga pengarah palsu bertujuan mendapatkan kelulusan bayaran dividen dengan kadar yang tinggi, elaun pengarah dan insentif kepada setiausaha syarikat dan pegawai akaun bagi pihak syarikat terbabit.
Dalam masa sama, dia juga telah mendapatkan tanda tangan daripada bekas pengarahnya dengan tujuan mengelirukan pihak pengurusan GLC terbabit supaya permohonan kesemua bayaran tersebut diluluskan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, dia tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna oren serta tangan bergari.
Dia turut diiringi beberapa pegawai dan anggota agensi berkenaan.