MB Kedah akan cadang pada PM, bazar Ramadan, Aidilfitri di kawasan PKP dibenar operasi

MB Kedah akan cadang pada PM, bazar Ramadan, Aidilfitri di kawasan PKP dibenar operasi

Kedah berharap bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi kelonggaran untuk beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya akan hadir ke mesyuarat tersebut secara dalam talian. Saya akan membangkitkan situasi peniaga-peniaga yang tidak dapat menanggung beban yang terlalu besar akibat penutupan perniagaan di bazar Aidilfitri dan bazar Ramadan.

“Saya juga berharap agar bazar dalam kawasan PKP diberi kelonggaran untuk beroperasi dengan SOP yang diperketat. Semoga ada khabar melegakan esok bagi lima daerah yang dikenakan PKP,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini.

Pada Jumaat lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula semalam hingga 14 Mei depan.

Semalam, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) cawangan Kedah Sarjakhan Abu Bakar turut menyuarakan pandangan agar bazar di lima daerah terbabit dibenarkan beroperasi bagi mengelakkan peniaga mengalami kerugian besar.

– Bernama

COMMENTS