Maybank catat untung bersih RM1.95 bilion suku ketiga 2020

Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset mencatatkan keuntungan bersih RM1.95 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, berbanding RM2 bilion pada suku sama tahun lalu.
Prestasi itu adalah berikutan pendapatan operasi bersih yang lebih
rendah terutama disebabkan oleh kesan berterusan pandemik COVID-19, walaupun ini sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan kos overhed dan penurunan kerugian rosot nilai.
Keuntungan sebelum cukai Maybank bagi suku dikaji turun kepada RM2.61 bilion berbanding RM2.65 bilion pada suku sama 2019.
Pendapatan operasi bersih bagi suku ketiga 2020 merosot 6.5 peratus kepada RM6.08 bilion daripada RM6.50 bilion sebelumnya.
Ini disebabkan penurunan 8.7 peratus tahun ke tahun jumlah pendapatan berdasarkan dana bersih kepada RM4.13 bilion, hasil daripada penurunan 27 mata asas (bps) margin faedah
bersih (NIM) berikutan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Di samping itu, kumpulan menyaksikan penurunan 1.3 peratus jumlah pendapatan berdasarkan fi bersih kepada RM1.95 bilion, terutama
daripada yuran teras lebih rendah berikutan aktiviti perniagaan yang lebih perlahan kerana COVID-19, serta keuntungan pelaburan lebih rendah.
Sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan penurunan pendapatan, kumpulan terus menjalankan kawalan disiplin ke atas perbelanjaan yang membolehkan kos overhed mengekalkan trend penurunannya daripada tahun lalu, dengan mencatatkan pengurangan 8.7 peratus kepada RM2.70 bilion pada suku ketiga 2020 berbanding RM2.96 bilion pada suku ketiga 2019.
Berikutan prestasi itu, lembaga pengarah Maybank mengumumkan dividen interim sebanyak 13.5 sen sesaham untuk tempoh
sembilan bulan hingga 30 September 2020, yang akan dibuat di bawah Rancangan Pelaburan Semula Dividen (DRP) Bank.
Dividen boleh dipilih sepenuhnya dan boleh dilaburkan semula ke dalam saham biasa baharu atau dibayar tunai.
Pengerusinya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata memandangkan terdapat peningkatan dalam keputusan suku ketiga, Maybank memutuskan untuk meneruskan kebiasaannya dalam membayar dividen interim kepada pemegang saham, walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding sebelum ini ekoran kesan pandemik COVID-19.
“Walaupun kedudukan modal Maybank kekal kukuh, kami terus memastikan untuk mengambil pendekatan yang berhemah dengan DRP di mana seluruh bahagiannya dapat dipilih.
“Keutamaan kami adalah untuk mengimbangi kepentingan pemegang saham dengan keperluan untuk mengekalkan modal yang mencukupi sekiranya berlaku ketidaktentuan yang berpanjangan dan
membiayai rancangan pertumbuhan untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Farid Alias pula berkata Maybank berusaha mengurangkan kesan daripada kerugian pengubahsuaian, penurunan kadar faedah dan kerugian rosot nilai yang lebih tinggi melalui pelbagai inisiatif.
Berita penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/11/759004/maybank-catat-untung-bersih-rm195-bilion