Mayat lelaki reput ditemukan dalam 4 x 4

Mayat lelaki reput ditemukan dalam 4 x 4

Mayat seorang lelaki dalam keadaan reput dipercayai meninggal dunia kira-kira tiga minggu lepas ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara di sebuah ladang kelapa sawit di Cherang Nibong, Ajil di sini lewat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan penemuan mayat itu pada pukul 5 petang dan satu pasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi pihak polis mendapati mayat lelaki dalam keadaan reput itu berada di tempat duduk pemandu. Hasil siasatan awal berdasarkan keadaan mayat, dipercayai lelaki tersebut telah meninggal dunia kira-kira tiga minggu lepas.

Identiti mangsa telah kita kenal pasti iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil.

“Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan dan mayat tersebut akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi, di Kuala Berang hari ini.

Mohd Adli berkata berdasarkan siasatan ke atas kenderaan pacuan empat roda tersebut, pihaknya percaya si mati merupakan suspek yang telah melarikan kenderaan terbabit dari Balai Polis Ajil tiga minggu lepas.

“Pada tiga minggu lepas pemilik kenderaan pacuan empat roda tersebut yang juga abang ipar lelaki itu (si mati) telah membawanya ke Balai Polis Ajil berkaitan kes dadah, namun dia bertindak melarikan kenderaan itu ketika abang iparnya berada di dalam balai,” katanya.

Sementara itu, Yusoff Mat Noh, 60, yang menjumpai mayat tersebut berkata pada Selasa lepas beliau telah melihat kenderaan tersebut dan si mati berada di lokasi yang sama.

“Kenderaan berhenti dalam ladang kelapa sawit ini perkara biasa sebab itulah saya anggap tiada apa-apa walaupun telah melihat lelaki tersebut petang Selasa lepas.

Saya sangka dia berehat di tempat duduk pemandu. Bagaimanapun petang tadi, sewaktu sedang cari lembu didapati kenderaan dan dia masih berada di tempat sama dalam keadaan dihurung lalat,” katanya.

– Bernama

Sumber berita : https://www.malaysiakini.com/news/550855